HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Oktober 2016

Kastam kutip hasil RM54.867 bilion

MALAYSIA GAZETTE




Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip hasil kasar bernilai RM54.867 bilion antara Januari hingga 30 Sept tahun ini, kata Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Lee Chee Leong berkata dari segi penguatkuasan, sebanyak 566 kes berjaya diselesaikan melibatkan cukai sebanyak RM489.63 juta.

"Saya percaya JKDM akan terus memainkan peranan penting dalam membanteras penyeludupan bagi mengelak ketirisan hasil," katanya.

"Kejayaan mengutip hasil ini tidak akan berjaya tanpa keazaman dan kerja keras warga JKDM di semua peringkat," katanya pada pelancaran penerbitan 'Encyclopedia Kastam Diraja Malaysia' di sini hari ini.
Lee berkata penerbitan ini relevan untuk menjelaskan dengan lebih meluas mengenai JKDM kepada rakyat.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata ensiklopedia tersebut akan diterbitkan oleh Persatuan Bekas Kastam Malaysia (PERBEKAS) dan Koperasi Bekas Kastam Malaysia (KOBEKAS), yang akan dilancarkan dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata isi kandungan penerbitan tersebut sudah disediakan dan ia sedang diperhalusi.
Mengulas tentang kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan, beliau berkata jumlah kutipan setakat Selasa sebanyak RM29.5 bilion.

"Kita menyasarkan kutipan GST sebanyak RM39 bilion bagi 2016, dan sasaran itu boleh dicapai jika mereka yang dikenakan GST membayar. Itu sebab kami mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak membayar," katanya.-- BERNAMA


Tiada ulasan: