HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Oktober 2016

Landasan ECRL RM55b dari emas, sindir Mahfuz

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan rasional kos pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan harga RM55 bilion seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Kata beliau, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya.

"Di manakah rasionalnya apabila kos pembinaan bernilai RM55 bilion, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta, sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya," kata beliau, memetik laporan Sinar Harian Online.

Justeru, beliau meminta satu jawatankuasa khas parlimen untuk membuat semakan.

Pengumuman itu walaupun nampak seolah-olah projek untuk menjaga kebajikan rakyat namun masih banyak persoalan yang perlu diperincikan, ujar beliau.

Tanda tanya mengenai perkara itu muncul apabila pada 26 Julai 2016, Menteri Kerja Raya menafikan laporan dari Sarawak Report yang mendakwa Putrajaya akan menaikkan harga pembinaan itu daripada RM30 bilion kepada RM60 bilion.

"Dukacita apabila menteri terbabit menafikan dengan alasan Kabinet belum mengadakan sebarang perbincangan pada Julai 2016.

"Saya hairan bagaimana Menteri Kerja Raya yang menafikan laporan itu tiba-tiba projek ini boleh masuk dalam bajet dengan nilai harga RM55 bilion, kurang RM5 bilion daripada laporan Sarawak Report," katanya.

Dakwa Mahfuz, walaupun dinafikan, beliau melihat perkara ini hampir ada persamaan dengan laporan dari Sarawak Report.

"Bagi saya adakah ini satu perbelanjaan kos landasan yang paling mahal dalam dunia? Saya tak tahulah mungkin kerajaan nak bina rel tu daripada emas ke atau besi buruk.

"Sebab itu bila diumumkan projek-projek yang dilihat sebagai menampakkan pemberian itu kepada rakyat saya masih persoalkan," katanya.

Tiada ulasan: