HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Oktober 2016

'MCA akan tetap menentang RUU hudud'

MALAYSIAKINI


MCA menafikan parti itu tidak akan menentang rang undang-undang dikemukan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, kata Pengerusi Biro Publisiti parti itu Chai Kim Sen.

Parti komponen BN secara konsisten menentang pembentangan rang undang-undang Hadi, yang biasanya dirujuk sebagai 'rang undang-undang hudud, kata Chai.

"Menteri-menteri kabinet MCA bahkan mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk melepaskan jawatan kabinet jika rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

"Selain itu, Wanita MCA berkempen untuk sejuta tandatangan di seluruh negara dan Pemuda MCA juga telah menjalankan kempen 'Memartabatkan Perlembagaan Persekutuan' serta-merta," katanya.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa MCA tidak akan membantah pembentangan rang undang-undang hudud itu.

MCA sentiasa lantang dalam penentangannya terhadap rang undang-undang itu, katanya.

Tambahnya, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga telah bertemu rakan sejawatannya dari parti-parti komponen lain untuk membantah rang undang-undang pada hari yang sama usul itu dibentang untuk dipercepatkan.

Mereka juga menimbulkan bantahan terhadap rang undang-undang dalam mesyuarat kabinet kerana mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini, katanya.

"Rang undang-undang adalah satu kaedah pintu belakang untuk secara rasmi menguatkuasakan enakmen hudud Kelantan," katanya.

Tiada ulasan: