HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Oktober 2016

PAS optimis RUU Akta 355 dibentang walau kedudukan usul berubah

Oleh Nur Atiqah Abd Samad, Azizul Osman & Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS yakin usul Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tetap dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini meskipun kedudukan usul dalam kertas perintah aturan urusan mesyuarat berubah-ubah.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan memberikan reaksinya terhadap usul itu telah ditolak ke bawah dalam kertas perintah pada hari kedua sesi ketiga dan terakhir Parlimen tahun ini.
 
"Kita ada 25 hari lagi, kita tak bimbang. Usul ini sudah dibahaskan sebahagiannya. Jika tak semoat pada kali ini, (sesi parlimen) akan datang.
 
"Urusan kerajaan akan diutamakan (tetapi) optimis ia akan dibentangkan pada sesi parlimen kali ini," katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355  yang dijangka dibentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak ke bawah dalam kertas perintah pada hari kedua sesi ketiga dan terakhir Parlimen tahun ini.
 
Usul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), telah diturunkan daripada senarai nombor 4 semalam kepada nombor 7 hari ini.
 
Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai, yang mana urusan kerajaan akan didahulukan berbanding usul persendirian.
 
Malah ada kemungkinan usul tersebut tidak dapat dibahas kerana bermula minggu depan, debat parlimen akan memberi tumpuan kepada Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini.
 
Sementara itu, mengulas isu yang sama, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad pula berkata, usul ini bukan saja membawa kepentingan PAS semata-mata tetapi mewakili harapan umat Islam di negara ini. 
 
"Benda ini (Akta 355) bukannya datang daripada PAS, ini harapan umat Islam yang mahu melihat bahawa akta ini diluluskan dan mahu melihat Mahkamah Syariah diperkasakan seperti mana sebelum ini pada 1984 kali terakhir diperkasakan, ketika itu tidak ada masalah.
 
"Kenapa sekarang ianya menjadi masalah, saya berharap supaya ianya dapat diluluskan pada sidang ini sebab ia bukan harapan PAS sahaja, tapi harapan umat Islam keseluruhannya," katanya kepada Antarapos.
 
 

Tiada ulasan: