HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Oktober 2016

PKR masih berteka-teki untuk sokong Akta 355 PAS

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengelak untuk menjawab soalan media berhubung pendirian sebenar parti itu terhadap Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang dibawa rakan sekutunya PAS.
 
Menurut Azizah, PKR akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas perbentangan Bajet Alternatif Pakatan Harapan (PH), esok di bangunan Parlimen.
 
"Kita akan keluarkan kenyataan rasmi (berhubung pendirian PKR mengenai pindaan AKta 355). Esok adalah perbentangan Bajet Pakatan Harapan, lepas itu (akan beri kenyataan)," katanya selepas selesai mempengerusikan mesyuarat biro politik PKR di ibu pejabatnya malam tadi.
 
Mesyuarat yang bermula jam 8 malam itu berakhir 4 jam kemudian rata-ratanya membincangkan mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap pindaan usul untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang dibawa oleh PAS.
 
Turut hadir adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah, Tian Chua, Shamsul Iskandar Mohamad Akin, Dr Xavier Jayakumar serta Pengarah Pilihan Raya parti Datuk Saifuddin Nasution.
 
Namun kelibat Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali tidak kelihatan dalam mesyuarat berkenaan.
 
Sementara itu, menurut Shamsul Iskandar, pendekatan yang diambil PKR dikira sedikit berbeza daripada parti-parti lain dalam mentafsir pindaan yang dibawa Hadi.
 
"Saya fikir pendekatan yang diambil oleh PKR itu mungkin berbeza dengan pendirian parti-parti lain. Kita lebih melihat kepada keseluruhan Maqasid Syariah dan sebagainya. Jadi tunggulah kenyataan rasmi PKR," katanya.
 
Biarpun diasak beberapa kali mengenai pendirian sebenar PKR, Ahli Parlimen Bukit Katil itu menegaskan ia belum muktamad lagi kerana mengambil kira kerjasama dalam PH dan hubungan tahaluf siyasi bersama PAS.
 
"Isi kandungan saya belum boleh dedahkan lagi kerana kita belum putuskan apa urutan dan sebagainya. Saya fikir elok tunggu kenyataan rasmi dan ia akan memberikan pencerahan kepada pendirian PKR," katanya.
 
Kepimpinan PAS sebelum ini optimis usul presidennya tetap dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini meskipun kedudukan usul dalam kertas perintah aturan urusan mesyuarat berubah-ubah.
 
Antaranya Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355  yang dijangka dibentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak ke bawah dalam kertas perintah semalam.
 
Usul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), telah diturunkan daripada senarai nombor 4 kelmarin kepada kedudukan terkini pada nombor 7 aturan Mesyuarat.
 
Rang undang-undang untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu sebelum ini ditentang hebat oleh parti bukan Islam antaranya DAP, MCA, Gerakan, MIC, dan parti-parti komponen BN Sarawak.
 
 

Tiada ulasan: