HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Oktober 2016

'PKR masih mantap walau 11 ketua cabang di Sabah keluar parti'

Anne Muhammad 


Seramai 11 ketua cabang wanita PKR Sabah antara yang mengikut jejak langkah Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lakim Ujin mengumumkan keluar parti awal bulan lalu.

Namun Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin berkata kesemua 11 ketua cabang wanita itu tidak aktif serta tidak menjalankan tugas mereka seperti sepatutnya.

“Wanita KEADILAN (PKR) Sabah masih lagi mantap. Yang keluar itu ketua-ketua yang tidak ada fungsi, tak aktif dan tak jalankan tugas sebagai wanita cabang di peringkat cabang.

“Mereka seperti tidak buat mesyuarat, tidak hadir mesyuarat di peringkat negeri, tak buat aktiviti dan tak ikut panduan wanita pusat,” kata Zuraida dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR sebentar tadi.

Zuraida berkata beliau telah berjumpa dengan wanita cabang lain yang masih aktif bagi membuat penstrukturan semula.

Justeru katanya, PKR telah melantik timbalan-timbalan ketua cabang bagi menggantikan 11 ketua wanita itu yang meninggalkan parti tersebut.

Sebelum ini Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan rasa kesal dengan tindakan pimpinan parti itu di Sabah keluar beramai-ramai untuk bergerak dalam parti baru.

Wan Azizah berkata amalan wakil rakyat meninggalkan parti yang menjadi tiket untuk mereka terpilih dalam pilihan raya tidak boleh dibiarkan.

Terdahulu Lajim mengumumkan keluar daripada parti itu bersama dua ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Terrence Siambun (PKR) serta Junz Wong (DAP).

Siambun adalah ADUN Moyog manakala Wong mewakili DUN Likas.

Kata Lajim keputusan itu dibuat dengan rasa berat hati selepas kira-kira tiga tahun memimpin PKR di Sabah.

Selain itu Lajim berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu di bawah parti tempatan.

Tiada ulasan: