HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Oktober 2016

Polis 'Jemput' Di Pesawat - Jamal

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Datuk Jamal Md Yunos
 
 
PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Rabu.

Ketika dihubungi mStar Online, Jamal yang baru pulang dari London dan dalam perjalanan ke balai polis berkata, anggota polis yang bersiap sedia di KLIA 'menjemput'nya di pesawat.

"Saya 'dijemput' dari dalam kapal terbang.

"Penahanan ini dilakukan di lapangan terbang, saya bukan nak melarikan diri. Selepas hantar keluarga balik saya boleh datang ke balai polis," katanya kira-kira sejam selepas ditahan pada Rabu.

Bagaimanapun, pemimpin gerakan Baju Merah ini berkata, beliau akur dengan tindakan pihak polis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.



Jamal berkata, sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa beliau sendiri akan berhubung dengan pihak polis sebaik pulang ke Malaysia.

"Mereka (polis) tak ada hubungi saya tapi saya ada maklumkan akan datang ke balai.

"Saya kesal kerana ditangkap di depan keluarga, anak-anak dan orang rumah saya. Setabah mana pun keluarga kita, mereka pasti akan tersentuh perasaan," katanya yang berada di London selama seminggu atas urusan perniagaan.

Jamal berkata beliau masih belum pasti punca penahanannya.

Katanya, setakat ini beliau hanya dimaklumkan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
"Saya pun tak tahu, mungkin ada kena-mengena dengan perhimpunan Bersih yang kita tentang," katanya.


Tiada ulasan: