HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Oktober 2016

Polis tidak akan minta maaf, doktor ditahan kerana lari ‘lintang pukang’

 
Polis tidak akan membuat permohonan maaf kepada doktor terbabit susulan kejadian itu kerana mereka hanya menjalankan tugas.


khalid-doctor


KUALA LUMPUR: Ketua polis negara hari ini mempertahankan tindakan sepasukan polis elit menahan seorang doktor di Hospital Serdang yang disyaki penjenayah, baru-baru ini, kerana suspek berlari “lintang pukang” ketika diserbu.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan polis elit itu tidak perlu dipersoalkan, kerana mereka sekadar menjalankan tugas berdasarkan tindakan doktor terbabit.

“Pada masa itu, apabila polis tiba dan menyerbu kawasan hospital di mana terdapat suspek yang kami cari. Semasa sampai, kami memanggil semua orang berkumpul dan tidak melarikan diri, suspek termasuk doktor ini lari dan kami menganggap dia salah seorang suspek.

“Saya rasa anda semua tahu, jika anda tidak melakukan sebarang kesalahan, anda tidak akan lari,” katanya selepas merasmikan Perpustakaan Bestari Samsung ke-6 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, seorang doktor di Hospital Serdang yang disangkakan perompak oleh sepasukan polis elit dicekup dan direbahkan ke atas lantai, sebelum digari dan disoal siasat untuk beberapa jam.

Insiden itu berlaku, apabila anggota elit Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang (Stafoc) tiba dengan berpakaian hitam, lengkap dengan balaclava dan senjata berat selepas menerima laporan sekumpulan perompak berada di ruang makan dekat tempat letak kereta hospital itu.

Khalid berkata, polis juga tidak akan membuat permohonan maaf kepada doktor terbabit susulan kejadian itu kerana mereka hanya menjalankan tugas.

“Saya kesal apa yang berlaku, tapi tidak perlu minta maaf.

“Kami terpaksa menjalankan tugas kami yang ada di situ suspek, suspek yang terlibat dalam pecah rumah, pernah mencederakan mangsa dan sebagainya,” katanya.


Tiada ulasan: