HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Oktober 2016

Rakyat tidak perlu GST dan BN, kata Guan Eng

 
Guan Eng berkata, GST tidak boleh menjadi penyelamat ekonomi apabila rakyat dan perniagaan menderita.


guan eng


KUALA LUMPUR: DAP tidak bersetuju dengan Datuk Seri Najib Razak yang ekonomi negara akan lumpuh tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata setiausaha agungnya.

“GST bukan penyelamat negara seperti yang didakwa Najib,” kata Lim Guan Eng sambil menambah perdana menteri tidak akan mengambil langkah berani untuk menghapuskan GST bagi memulihkan ekonomi.

Beliau berkata, Bajet 2017 tidak akan memberi kesan besar kepada rakyat biasa, kecuali GST dimansuhkan.

“Macam mana GST boleh jadi penyelamat ekonomi sedangkan rakyat dan perniagaan menderita?” soalnya.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, rakyat tidak memerlukan Barisan Nasional (BN) mahupun GST.

“Ia adalah punca kelembapan ekonomi dan pekerja tidak dapat menampung kos sara hidup.”

Pemimpin DAP itu merujuk pemansuhan subsidi minyak masak yang bakal menyaksikan 1 liter minyak masak akan dinaikkan 40 sen dan 5 liter naik RM1.90.

“Kenaikan harga untuk komoditi asas ini hanya akan menambah beban kewangan rakyat.

“Mereka sudah dibebani kenaikan harga barangan dan perniagaan lembap disebabkan pelaksanaan GST.”
Jika bukan kerana GST, katanya, pemansuhan subsidi minyak masak tidak akan menimbulkan masalah besar kepada keluarga miskin.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran, penghapusan subsidi minyak masak tanpa mengecualikan GST hanya akan melebarkan jurang pendapatan dan menjadikan golongan miskin lebih susah.

Katanya, kesan buruk GST ke atas ekonomi boleh dilihat melalui kejatuhan 30% kutipan cukai itu untuk suku kedua 2016.

Suku pertama tahun ini menyaksikan kutipan GST berjumlah RM10.2 bilion, tetapi suku kedua merosot kepada RM7.1 bilion, kurang 30% atau RM3.1 bilion.

Guan Eng berkata, ini jelas menunjukkan perniagaan merosot sebanyak 30%.

“Perdana menteri dan BN boleh menafikan semuanya, tetapi kejatuhan 30% dalam kutipan GST mencerminkan keadaan ekonomi bermasalah.”

Katanya, rakyat tidak akan bersetuju GST ialah penyelamat ekonomi negara.

“Mereka akan meminta penghapusan GST untuk menyelamatkan ekonomi negara.”

Tiada ulasan: