HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Oktober 2016

Sokong RUU: BN serah kepada PM, kata Zahid

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memutuskan samada mahu memberi laluan kepada usul Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk dibahas pada sidang kali ini.
 
"Kita akan serahkan kepada Perdana Menteri," demikian reaksi ringkas Zahid ketika ditanya mengenai sokongan Umno-Barisan Nasional (BN) terhadap usul yang bakal dibentang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Ujar Ahli Parlimen Bagan Datoh itu, Umno-BN menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menentukannya berdasarkan kepada situasi.
 
Ulasnya, keputusan untuk membentangkan RUU itu pula terletak kepada budi bicara speaker Dewan Rakyat.
 
"Dalam peraturan parlimen, RUU itu berada di kedudukan keempat dan ianya terletak dalam bidang kuasa speaker untuk memutuskan hal ini," katanya lagi.
 
Usul berkenaan kini berada pada kedudukan ketujuh dalam kertas perintah pada hari kedua sesi ketiga dan terakhir Parlimen tahun ini.
 
Ia diturunkan daripada kedudukan keempat semalam apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai.
 
Dalam perkembangan berlainan, Zahid yang juga Naib Presiden Umno memaklumkan seramai 137 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh ditahan.
 
"Kita telah menahan mereka yang kembali ke negara ini 137 ditahan setakat ini yang datang' kembali atau memberikan pembiayaan.. dan pemulihan dibuat," katanya.
 
Beliau juga memberi jaminan bahawa tahap kesiap-siagaan dipertingkatkan bukan sahaja di lapangan terbang dan sempadan, malah di lorong tikus bagi menghadapi sebarang ancaman.
 
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien berkata Malaysia kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan serangan oleh tentera bersekutu diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq, bermula hari ini.
 
Ini kerana ujarnya wujud kemungkinan anggota militan Daesh akan pulang ke negara asal atau mencari perlindungan di negara tertentu sekiranya serangan itu melumpuhkan mereka.
 
 

Tiada ulasan: