HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Oktober 2016

TN50 perancangan rapi untuk memeta hala tuju negara - Ahli akademik

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi Bajet 2017 Jumaat lali, merupakan pembaharuan negara dalam mengatur perancangan rapi bermula dari sekarang.
 
Menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Seri Dr Mustafa Ishak, negara perlu mempunyai hala tuju dan masa depan yang jelas kerana hanya berbaki kurang tiga tahun saja lagi dalam menuju Wawasan 2020.
 
"Pada saya tentunya pada tahun 2020 kita tetap menilai di manakah pencapaian kita. Tetapi dalam masa yang sama kita mesti ada perancangan untuk 30 tahun lagi daripada sekarang, jadi kita tak boleh hanya berpeluk tubuh menunggu hanya datang tahun 2020 dan tidak ada persiapan negara pada masa akan datang," katanya kepada Antarapos.
 
Justeru beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan TN50 mahu melenyapkan legasi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang memperkenalkan dasar Wawasan 2020.   
 
"Itu tak timbul, Wawasan 2020 hanya tinggal beberapa tahun saja lagi jadi kita mesti mula mengorak langkah untuk menyediakan hala tuju baru untuk negara (bagi) 30 tahun akan datang. 
 
"Jadi perancangannya mesti dibuat sekarang, dengan sebab itu kita tidak boleh mengatakan bahawa dasar ini mahu membunuh Wawasan 2020," kata beliau yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).   
 
Malah, katanya dasar ini baru saja dalam peringkat perangkaan dan sesi rundingan dalam mengumpul input untuk menjadikan ia sebuah dasar yang lebih komprehensif. 
 
"TN50 itu akan dibentuk berdasarkan sesi konsultansi, diskusi meja bulat, pertemuan kelompok masyarakat yang akan berjalan selepas ini di bawah Kementerian Belia Sukan. Bermakna rakyat ada peluang untuk memberikan pandangan mereka apakah rupa bentuk negara, bangsa yang mereka mahukan dalam tempoh 30 tahun dari sekarang," katanya lagi.
 
Najib berkata, TN50 akan menjangkau proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi memeta hala tuju negara di atas kanvas yang baru.  
 
Katanya lagi, TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional.
 
Beliau berkata ia akan dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan dan akan dinaungi beliau sendiri selaku perdana menteri.
 
 

Tiada ulasan: