HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Oktober 2016

ZAHID TIDAK DIPERCAYAI, HISHAM KURANG DIYAKINI, KJ DIPROJEK PENGGANTI TERKINI?

shahbudindotcom


Salah satu perkara yang menjadi perbualan ramai dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Najib Razak Jumaat lalu ialah TN50 atau Transformasi Tahun 2050 yang secara jelasnya akan memadam Wawasan 2020 yang merupakan ilham Tun Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan belanjawannya itu, Najib berkata, TN50 adalah azimat dan harapan masa kini untuk menggantikan Wawasan 2020 yang harus dibiarkan sebagai legasi yang berlalu pergi.
 
 
 
 
Dengan mencipta TN50, ia bukan saja bermakna Wawasan 2020 tidak lagi menjadi sebutan, malah pastinya juga membuatkan ia akan terus dilupakan.

Berduyun-duyunlah pemimpin UMNO selepas ini akan bercakap mengenai TN50 dalam perbualan, ucapan serta sebutan harian.

Tidak merobohkan KLCC, Putrajaya atau Seri Perdana, legasi Tun Mahathir yang paling awal dilenyapkan oleh Najib, sesuai dengan desakan bertali arus oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah Wawasan 2020.

Dalam ucapannya ketika membentangkan Bajet 2017, Najib juga menyebut pengisian untuk program TN50 akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan atau KBS, tetapi akan dinaungi serta dipayungi oleh beliau sendiri.

Kenapa TN50 tidak dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri atau diwujudkan satu unit khas kerajaan mengendalikannya? Bukankah ia satu visi besar untuk negara?

Kenapa mesti diserahkan kepada KBS yang menterinya ialah Khairy Jamaluddin?

Adakah pemilihan KBS sebagai pengendali TN50 semata-mata kerana Najib mahu melihat penyertaan generasi muda yang lebih meluas atau disebabkan program-program Khairy Jamaluddin seperti "FitMalaysia"  sedang mendapat sambutan hangat di seluruh negara, lalu beliau ingin "menumpang tuah" daripadanya?
 
 
 
 
Adakah dengan demikian, Najib bertujuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin sokongan golongan muda terhadapnya melalui KBS dan aura KJ, seterusnya bukan saja untuk memastikannya menang dalam pilihanraya, bahkan juga untuk berada lebih lama di puncak kuasa?

Adakah dalam waktu yang sama,  oleh kerana musuh Najib ialah Tun Mahathir, maka KJ yang merupakan menantu Tun Abdullah Badawi, sengaja cuba diprojekkan sebagai calon Perdana Menteri untuk menambahkan lagi "sakit hati" musuh politiknya itu? 

Kalau pun Zahid Hamidi tidak dipercayai sebagai bakal pengganti, adakah dengan memprojekkan KJ melalui tugasan penting, besar dan hebat TN50 itu, ia juga bermakna Hishammuddin sudah kurang diyakini? 


Tiada ulasan: