HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 November 2016

1BestariNet: Kementerian rugi RM45 juta akibat kurangkan kadar sewa menara 1Bris

zairil

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menjelaskan justifikasi di sebalik pengurangan hampir 99 peratus kadar sewa setahun tapak menara 1Bris milik YTL Communication Sdn. Bhd. yang didirikan di 3,203 sekolah di seluruh negara.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, kadar sewa setiap tapak menara tersebut seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah RM1,200 sebulan, namun ia dikurangkan secara drastik kepada hanya RM1,000 setahun.

Lebih tambah memburukkan, katanya, JPPH pada Ogos 2014, telah membuat keputusan luar jangka dengan membuat penetapan kadar sewa serendah RM120 setahun kepada syarikat terbabit. Ia berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara bagi tahun 2012 hingga 2014.

“Cadangan awal JPPH adalah RM1,200 sebulan atau RM14,400 setahun bagi setiap tapak, bermakna RM46.12 juta setahun untuk semua 3,203 tapak.

“Dengan mengurangkan kadar sewa kepada RM1,000 setahun bagi setiap tapak, YTL hanya perlu membayar RM3.2 juta setahun, iaitu bersamaan dengan kerugian hasil sebanyak RM42.92 juta setahun untuk KPM.

“Jika itu tidak cukup teruk, kadar sewa yang terkini telah dikurangkan kepada RM120 setahun bagi setiap tapak, yang bersamaan dengan hanya RM384,360 setahun.

“Perbezaan antara jumlah itu dengan cadangan awal JPPH merugikan Kementerian Kesihatan sebanyak RM45.73 juta, atau lebih daripada 99 peratus,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menara 1Bris melalui projek 1BestariNet adalah inisiatif KPM dengan YTL bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah.
Ia bagi mewujudkan persekitaran WiFi di sekolah dan membolehkan pelajar dan guru melaksanakan aktiviti pembelajaran secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga merupakan Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, terdapat dakwaan bahawa perkhidmatan internet jalur lebar melalui menara 1Bris yang sepatutnya dioptimumkan untuk penggunaan di sekolah telah disalah guna oleh YTL bagi tujuan komersial.

“Walaupun penggunaan komersil telah dinafikan oleh pegawai-pegawai kementerian dalam inkues Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), YTL sendiri telah mengakui bahawa penggunaannya (menara 1Bris) tidak terhad kepada kawasan sekolah,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: