HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 November 2016

681 usul dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO - Hishammuddin


Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
Jawatankuasa Induk Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah menerima 681 usul dari konvensyen UMNO Negeri seluruh negara untuk ditapis dan dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 29 November hingga 3 Disember ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setelah meneliti semua usul berkenaan pihaknya telah pecahkan kepada beberapa kategori seperti politik, ekonomi, pendidikan dan agama.
Katanya, daripada usul itu, sebanyak 510 diluluskan untuk dibahas, manakala 171 usul lagi diterima sebagai usul tanpa bahas dan tidak ada usul yang ditolak.
"Apabila kita menerima semua usul dari UMNO Negeri, ini menunjukkan kita bersikap terbuka dan beranggapan usul itu untuk kepentingan ahli dan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, jawatankuasa itu adalah hasil naiktaraf dari perbincangan meja bulat sebelum ini kepada Pemerkasaan Agenda Ummah atau singkatannya PAU.
Beliau menjelaskan, jawatankuasa itu bersetuju melantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi PAU, yang bertanggungjawab menyelaras setiap isu dan usul sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula.
"Saya hanya diamanahkan untuk melihat setiap usul yang diterima di peringkat negeri sebelum menyerahkan kepada Dr. Asyraf untuk diselaraskan dengan persetujuan ahli-ahli jawatankuasa,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Asyraf Wajdi, UMNO adalah parti bersifat inklusif yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
"Kita mengutamakan ahli, rakyat dan kelompok berkepentingan dalam menggerakkan parti supaya ia tetap relevan selama-lamanya," katanya. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: