HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 November 2016

Adam Rosly hanya setuju isytihar harta jika PKR arahkan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
AMPANG: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly menegaskan beliau hanya akan melakukan pengisytiharan harta sekiranya ia merupakan keputusan umum parti. 
 
Sebelum ini Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli meminta Adam mengisytiharkan harta bagi menafikan tuduhan ke atasnya ekoran pendedahan 'kekayaan luar biasa' yang dimilikinya meskipun baru berusia 28 tahun.
 
"Saya bersetuju dengan cadangan itu namun apa keperluan saya untuk mengisytiharkan harta sebab saya bukan penjawat awam.
 
"Tetapi jika itu adalah arahan umum parti yang dapat memuaskan kehendak pelbagai pihak, saya bersedia untuk mengisytiharkan harta tanpa meninggalkan sesen pun," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
 
Sidang media itu diadakan bagi menjawab dakwaan Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, yang mempertikaikan kekayaan luar biasa miliknya. 
 
Kekayaan yang dimiliki Adam juga dikaitkan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
 
"Mengapa setiap apa yang berlaku di Selangor ini perlu dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraidah Kamaruddin? Jika betul, saya minta Jamal buktikan bahawa saya ini proksi kepada Azmin. Jangan reka persepsi negatif kerana itu fitnah," tegas Adam.
 
Dalam sidang media itu, Adam lebih banyak bertanyakan soalan daripada menjawab soalan yang diajukan pemberita.
 
Adam juga memilih untuk tidak menjawab beberapa persoalan mengenai kekayaan luar biasa yang dimilikinya namun berjanji akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya diminta berbuat demikian.
 
"(Perniagaan) Ini isu peribadi saya tak perlu jelaskan kepada media. Ia peribadi. Saya akan nyatakan jenis perniagaan saya kepada pihak tertentu. 
 
"Sebab itu saya berikan jaminan dan kerjasama yang baik kepada pihak polis, SPRM dan LHDN untuk menyiasat dan menyoal serta mengemukakan dokumen tentang perniagaan," katanya.
 
Nama Adam mula mendapat perhatian selepas Ismail Kijo dan Jamal mendedahkan banglo mewah ala Disneyland yang dianggarkan bernilai lebih RM7 juta, yang terletak di Ampang.
 
Adam juga dikatakan memiliki beberapa buah kereta mewah antaranya BMW 320i, Mercedes C200, Volvo, dan Mini Cooper Clubman.
 
Jamal juga turut membawa beberapa orang wartawan menaiki helikopter untuk meninjau kediaman mewah Adam.
 
Adam bagaimanapun memberitahu pemberita bahawa rumah mewahnya itu dibeli dengan harga RM1 juta menerusi proses lelongan bank.
 
Ujarnya, rumah itu terbengkalai semasa beliau membidanya malah reka bentuk kediamannya itu juga adalah rekaan asal tanpa sebarang ubah suai.
 
Adam juga berkata, fenomena 'anak muda kaya' adalah perkara biasa pada hari ini.
 
 

Tiada ulasan: