HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 November 2016

Antara kepincangan air Selangor dan air Pahang

demo-baldi 


Riuh seluruh negara apabila sekumpulan pemuda daripada Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor berarak menuju ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Seksyen 5, Shah Alam pada Isnin lalu.

Bangunan yang menempatkan sekretariat kerajaan Selangor cuba dirempuh masuk oleh kumpulan terbabit, memaksa unit keselamatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menutup pintu utama.

Unit Tempur Ringan juga ditempatkan dalam kawasan SUK sebagai langkah berjaga-jaga, berikutan tindakan agresif kumpulan pemuda berkenaan.

Kumpulan muda itu amat marah dan melemparkan tuduhan kerajaan Selangor pimpinan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali gagal menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Sebagai tanda protes, mereka membaling baldi kosong dan botol air sebagai simbol sindiran terhadap Mohamed Azmin dan kepemimpinan negeri.

Memorandum bantahan diserahkan dan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Mat Shuhaimi Shafie turun dari Pejabat Menteri Besar menyambut mereka sambil tersenyum dan menerima memorandum itu.

Maka gegak gempitalah satu negara akan permasalahan yang timbul sehinggakan hampir semua organisasi media melaporkan amarah anak muda BN kerana masalah air Selangor yang disifatkan meruncing itu.

Beberapa hari kemudian, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ‘menyerang’ kerajaan Pahang dengan mendesak isu air di negeri itu diselesaikan segera.

Teguran daripada pewaris tahkta Pahang itu dibuat selepas masalah air di Pahang sudah berlarutan terlalu lama dan menyusahkan banyak pihak.

Rupa-rupanya, masalah bekalan air di Pahang jauh lebih teruk berbanding di Selangor, sehingga memaksa ‘campur tangan’ istana Pahang untuk membetulkan kesilapan pentadbir negeri.

Difahamkan, banyak kawasan Felda dan penempatan di luar bandar negeri berkenaan tidak mendapat bekalan air bersih dengan sempurna sejak tiga dekad lalu.

Antara aduan daripada rakyat Pahang yang terbabit ialah tekanan air rendah, penyaluran air tidak menentu dan tidak mampu membeli takungan untuk penyimpanan air.

Keadaan ini amatlah menyedihkan kerana Pahang adalah antara negeri yang mempunyai sumber air cukup banyak berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Jika dibandingkan dengan Selangor, bekalan air hanya terputus beberapa hari dan itu pun disebabkan faktor luaran seperti pencemaran.

Sementara itu, Pahang pula berdepan salah urus sumber air yang kronik dan keputusan bekalan pula sudah berpuluh tahun lamanya.

Akibat salah urus tadbir itu juga, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dr Maximus Ongkili menggesa Kerajaan Pahang merombak struktur bekalan air mentah menerusi proses migrasi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dalam tempoh terdekat.

Langkah itu perlu dilaksana bagi menjamin kualiti dan bekalan air berterusan di Pahang. Tarif air juga perlu disemak semula oleh kerajaan negeri untuk menampung kos operasi, sekaligus melonjakkan kualiti perkhidmatan untuk manfaat pengguna.

Yang jelas di sini ialah, kerajaan Pahang menerima ‘serangan’ bertalu-talu daripada Jemaah Menteri dan istana Pahang sendiri berhubung isu bekalan air mentah tidak sempurna.

Tatkala itu terfikir pula, tidak adakah demonstrasi dan lontaran amarah Pemuda BN terhadap kelembapan kerajaan Pahang menyelesaikan isu bekalan air?

Kerajaan negeri mana yang layak terkena sindiran, lemparan baldi dan pintu utama bangunan SUK negeri digegarkan? Jawapannya tentu sekali kerajaan Pahang.

Tiada ulasan: