HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 November 2016

APA SALAHNYA JIKA SEJARAH YANG SAMA BERLAKU KEPADA NEGARA KITA?

shahbudindotcom

Ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor, sepupu Najib Razak, Hishammuddin Hussein dilaporkan memberi ingatan mengenai PRU 14 akan datang yang dianggapnya bakal menjadi paling sengit dalam sejarah perjuangan parti itu.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengingatkan, UMNO perlu bersedia menghadapi persaingan mencabar itu bagi mengelak ia menerima nasib seperti Golkar di India, Kongres di India, LDP di Jepun dan Koumintang di Taiwan yang kalah dalam pilihanraya.

Mandat lima tahun sudah hampir dua pertiga hayatnya...ini bermakna UMNO perlu mendapat mandat baru, tapi ia bukanlah semudah yang kita impikan, katanya lagi.

Ingatan Hishammuddin itu tentunya tidak lain untuk memberi semangat kepada ahli-ahli UMNO agar terus bekerja keras lagi kiranya ingin mengekalkan kuasa yang ada sekarang.
 
 
 
 
Jika tidak, bersedialah hilang kuasa seperti yang dialami oleh Golkar, Kongres, LDP dan Koumintang. Itulah matlamat beliau.

Memang hakikat mengenai titipan sejarah itu barangkali sudah pun difahami oleh ramai orang. Ia bukanlah sesuatu yang asing.

Tetapi, apa yang Hishammuddin tidak beritahu ialah apakah rakyat dan negara Indonesia, India, Jepun serta Taiwan menjadi lebih buruk dan mereka semakin mundur ke belakang berikutan kalahnya parti-parti tersebut?

Adakah negara-negara tersebut telah hancur hanya kerana kalahnya sebuah parti yang selama ini menguasai kerajaan?

Atau dalam aspek-aspek tertentu, kekalahan itu mungkin memberi manfaat yang lebih baik lagi buat rakyat dan negara mereka?

Begitu juga bagi Malaysia, apakah kekalahan UMNO tidak baik bagi rakyat dan negara ini? Adakah hanya yang buruk-buruk saja bakal menimpa?

Jika negara kita tidak hancur, malah kekalahan UMNO mungkin memberi lebih banyak kebaikan, maka apa salahnya bagi rakyat Malaysia menuruti sejarah Golkar, Kongres, LDP dan Koumintang itu dalam PRU 14 nanti?

Soalnya juga, apakah UMNO akan menjadi lebih baik, pemimpinnya lebih bertanggungjawab dan Najib lebih jujur serta ikhlas, terutamanya berkaitan kemelut 1MDB dan wang berbilion-bilion, jika parti itu terus diberikan kuasa lagi memerintah negara ini?
 
 
 

Tiada ulasan: