HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 November 2016

Baju Merah, Kuning? PAS juga nak buat himpunan warna lain

Gambar fail NSTP/ABDULLAH YUSOF
Gambar fail NSTP/ABDULLAH YUSOF


Jika sebelum ini ada himpunan Baju Merah dan Kuning (BERSIH), apakah selepas ini akan ada satu lagi himpunan yang bakal dianjurkan oleh PAS dimana mereka awal-awal lagi sudah membuat pendirian untuk tidak bersama dalam mana-mana himpunan dianjurkan.

PAS yang sudah tidak lagi sebulu dengan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan menolak himpunan BERSIH 5 yang dipelopori musuh mereka DAP dan PAN (Parti Amanah Negara) tetapi mereka akan menganjurkan satu himpunan sendiri yang dinamakan Himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) seminggu sebelum BERSIH 5.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata LASAK yang merupakan anjuran PAS Selangor diadakan bukan bertujuan menyaingi himpunan Baju Kuning (BERSIH 5), sebaliknya ia berlaku secara kebetulan diadakan pada 13 November.

“Tarikh 13 November dipilih kerana ianya adalah sejurus selepas Bajet Kerajaan Persekutuan dan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor dibentangkan.

“Ia akan memberi peluang kepada rakyat untuk menyatakan pandangan mereka terhadap bajet dan belanjawan tersebut,” kata Iskandar dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor berkata LASAK akan berlangsung di Padang Awam, Taman Medan, Petaling Jaya bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Himpunan tersebut didakwa akan membawa masalah-masalah serta cadangan-cadangan untuk penyelesaiannya kepada sidang Parlimen atau kepada Kerajaan Negeri Selangor.

“Program hari itu akan menghimpunkan wakil-wakil dari pelbagai kelompok rakyat meluahkan hasrat hati mereka. Di antara yang akan berucap adalah wakil-wakil anak muda, pendidik, wanita, veteran tentera, pekerja, peniaga kecil, petani, nelayan, penggiat seni, pembeli rumah dan mahasiswa,” katanya.

Ketika ditanya adakah himpunan LASAK anjuran PAS mempunyai warna tertentu seperti himpunan Baju Kuning dan Baju Merah, Iskandar menolak untuk menjadikan LASAK sebagai himpunan Baju Hijau.

“Tiada warna yang khusus, bebas baju warna apa pun. Kami tidak mahu paksa rakyat beli baju,” katanya.

Himpunan Baju Kuning atau BERSIH 5 dijangka diadakan pada 19 November ini dijangka turut disertai kumpulan Baju Merah yang akan menentang himpunan tersebut.



Tiada ulasan: