HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

BERSATU KE ARAH SELAMATKAN MALAYSIA

shahbudindotcom


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kepada semua rakyat Malaysia yang cinta Negara Bertuah ini.

Ingin saya maklumkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia sudah tertubuh dengan rasminya.

Kami pengasas telah tubuh parti ini kerana kami percaya dengan sokongan rakyat kami akan dapat pulihkan semula Negara bertuah ini.

Rakyat merata-rata telah menyuara dan mendesak supaya sesuatu dibuat untuk mengembalikan negara ke jalan yang mulia – jalan yang berjaya bangunkan negara miskin ini sehingga terkenal sebagai contoh kepada negara-negara membangun lain di dunia.

Di mana sahaja rakyat Malaysia pergi, mereka dapat berbangga dengan komen baik terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara ini.

Tetapi hari ini rakyat berasa malu kerana disindir oleh orang asing kerana Malaysia sudah jadi di antara sepuluh negara yang amat korap, yang Perdana Menterinya dituduh melesapkan berbillion Ringgit, yang dibeban dengan hutang yang besar, yang rakyat tertekan dengan cukai dan sara hidup yang tinggi, yang tidak diperintah mengikut undang-undang, dan yang merosot kemajuannya.

Demokrasi tidak diamal dalam pemerintahan sekarang dan rakyat hidup dalam ketakutan kerana ugutan-ugutan dan tindakan oleh Kerajaan dengan undang-undang yang zalim atau di luar undang-undang.

Kebebasan bersuara sudah dihapuskan dan rakyat terdedah kepada tahanan tanpa bicara dan tanpa pemeriksaan post mortem – inquest – ke atas si mati untuk menentukan sebab kematian. Segala tindakan Kerajaan dan pegawainya tidak boleh disoal dalam mahkamah.

Parti kami, akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk mengalahkan BN dan UMNO dalam pilihanraya. Hasrat kami ialah untuk memelihara hak rakyat supaya kembali hidup berbahagia.

Walaupun banyak ugutan dibuat oleh Kerajaan ramai sudah orang Bumiputra mendaftar sebagai ahli PPBM. Dan ramai pula bukan Bumiputra yang mendaftar sebagai ahli bersekutu.

Adalah penting Parti Pribumi Bersatu Malaysia ini mempunyai ramai ahli secepat mungkin. Oleh itu saya jemput semua pribumi yang bukan ahli dalam mana-mana parti pembangkang untuk daftar sebagai ahli dengan mengisi borang atau melakukan daftar online.

Percayalah penyertaan saudara saudari dalam PPBM akan menyumbang kepada pemulihan negara yang akan membawa banyak kebaikan kepada kita semua.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PENGERUSI
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA
PUTRAJAYA

Artikel ini ini adalah tulisan terbaru Tun Mahathir Mohamad yang dipetik dari blog Chedet. Jika kita sayangkan negara ini dan kekal ingin menolak Najib Razak, UMNO dan BN, pilihan yang ada di depan mata kita hanya tinggal satu - PRU 14.

Kotak undi adalah satu-satunya peluang yang tidak seharusnya kita lepaskan untuk membawa perubahan dan pembaharuan kepada negara. Oleh itu, tidak kira sama ada bersama PPBM atau lain-lain parti yang sealiran perjuangannya, ia adalah untuk masa depan kita


Tiada ulasan: