HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 November 2016

BERSIH perlu jelaskan dakwaan terima dana daripada Soros - Rafizi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mahu BERSIH menjelaskan laporan badan itu menerima sumbangan kewangan daripada jutawan Amerika Syarikat, George Soros. 
 
Pun begitu, Rafizi berkata beliau tidak melihat dakwaan menerima dana daripada Soros sebagai isu besar. 
 
"Saya tak tahu. Yang saya baca BERSIH ditaja. (Tetapi) Bukan ditajalah, sebaliknya mendapat geran. 
 
"Saya rasa sama, jika korek semua NGO sokong Umno, segala jenis geran dan wang mereka dapat. Saya tak rasa perkara itu perkara besar, cuma BERSIH perlu jelaskan," ujarnya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
 
Rafizi juga ditanya dakwaan bahawa terdapat beberapa ahli PKR turut menerima tajaan daripada Soros.
 
"Sesiapa yang dinamakan pun perlu jelaskan. Contohnya jika pemimpin PKR dinamakan, mereka kena jelaskan. 
 
"Saya yakin mereka ada alasan dan hujah yang baik," ujar Ahli Parlimen Pandan itu.
 
Sebelum ini Pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos, mendedahkan BERSIH mendapat tajaan kewangan dari pertubuhan Open Society Foundations (OSF) yang dikelola oleh Soros.
 
Katanya, beliau mendapat maklumat ini daripada kebocoran dokumen dalaman Open Society Foundations (OSF) yang digodam oleh aktivis Wikileaks beberapa minggu lalu.
 
Ekoran dakwaan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu satu siasatan digerakkan secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.
 
Ujarnya yang menjadi persoalan utama pada waktu ini mengenai penglibatan pihak luar terhadap politik negara.
 
 

Tiada ulasan: