HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 November 2016

Bulan besar malam ini, pertama kali sejak 1948

MALAYSIAKINI





Fenomena bulan besar atau supermoon akan berlaku mulai malam ini sehingga 21 November.
Ini kali pertama sejak 1948 bulan berada di kedudukan paling dekat dengan bumi, lapor Bernama.

Disebabkan kedudukan itu, tarikan graviti menjadi lebih kuat dan fenomena itu dijangka menyebabkan air pasang besar yang menyebabkan banjir, terutama di kawasan-kawasan rendah.

Beberapa kawasan di Pulau Pinang terdedah kepada bahaya banjir akibat fenomena itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Pengurusan Lalu Lintas Chow Kon Yeow berkata air pasang mungkin setinggi 3.5 meter.

"Kawasan seperti Kampung Manis di Perai adalah satu daripada kawasan yang paling terdedah di negeri ini kepada banjir kerana fenomena tersebut disebabkan lokasinya," beliau dilapor sebagai berkata pada sidang media di George Town hari ini.

Chow berkata, kerajaan negeri telah melakukan segala-gala dalam bidang kuasanya untuk mengurangkan banjir tetapi dalam keadaan tertentu akibat fenomena semula jadi, tiada apa boleh dilakukan.

"Fenomena seperti bulan penuh dan hujan lebat yang luar biasa akan menyebabkan banjir tetapi malangnya ia di luar kawalan kerana kita tidak dapat mengawal sifat alam semula jadi," beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Pang Ah Leh berkata pihaknya telah bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi fenomena air pasang besar.


Tiada ulasan: