HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

Caruman selepas usia 55 tahun akan masuk ke Akaun Emas

 
 
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan memberikan taklimat media mengenai penambahbaikan skim KWSP di Menara KWSP, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQOM BADRUL MUNIR, 3 NOVEMBER 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan memberikan taklimat media mengenai penambahbaikan skim KWSP di Menara KWSP, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQOM BADRUL MUNIR.
 
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Akaun Emas sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas yang masih bekerja bermula 1 Januari 2017.

Bagaimanapun tiada perubahan kepada pengeluaran simpanan persaraan KWSP semasa umur 55 tahun (Akaun 55).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan, kesemua caruman baharu yang diterima selepas umur 55 tahun akan dimasukkan secara automatik ke dalam Akaun Emas.

Ahli hanya dibenarkan mengeluarkan simpanan tersebut apabila mencapai umur 60 tahun.

Dividen kepada pencarum juga adalah sama bagi Akaun 55 dan Akaun Emas, katanya.

"Apabila mencapai umur 55 tahun, pencarum boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP mereka atau sekiranya masih berminat untuk meneruskan simpanan, mereka boleh berbuat demikian dan akan menerima dividen selagi masih mempunyai akaun dengan kami.

"Bagaimanapun, sekiranya mereka tidak bersara pada usia 55 tahun, caruman KWSP yang dibuat majikan dan pekerja akan secara automatik akan dimasukkan ke Akaun Emas dan hanya boleh dikeluarkan pada usia 60 tahun.

"Ini bagi memastikan ahli mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi apabila mencapai umur persaraan," katanya semasa taklimat media berhubung penambahbaikan ke atas skim KWSP semasa di sini hari ini.

Disebabkan Akaun Emas baharu sahaja dilancarkan, Sharil Ridza menjelaskan, bagi pekerja-pekerja yang sudah melewati usia 55 tahun pada 1 Januari 2017, baki Akaun 55 mereka akan digabungkan dengan Akaun Emas secara automatik pada tarikh tersebut.

"Katakan seseorang itu berusia 58 tahun pada 1 Januari 2017 dan masih bekerja, baki akaun KWSP semasa mereka (Akaun 55) akan digabungkan dengan Akaun Emas.

"Selepas itu, mereka boleh membuat pengeluaran penuh pada usia 60 tahun," katanya lagi.

Selain Akaun Emas, KWSP juga melanjutkan had pengkreditan dividen dari umur 75 tahun sehingga 100 tahun.

Ini akan memberi manfaat kepada ahli yang ingin mengekalkan sebahagian simpanan mereka dengan KWSP serta mendapat faedah melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran dibuat.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: