HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

CCRIS bukan untuk bunuh masa depan pelajar

 
 


Kementerian Pendidikan Tinggi menolak dakwaan pihak tertentu bahawa Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) adalah mekanisme yang ‘membunuh’ masa depan pelajar yang meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mary Yap Kain Chin berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana CCRIS adalah badan bertanggungjawab merekodkan senarai pelajar yang tidak membuat bayaran PTPTN.

“CCRIS bukan menyenarai hitamkan nama pelajar berkenaan, sebaliknya ia bertindak merekodkan kaedah pembayaran oleh bekas pelajar yang meminjam dengan PTPTN untuk melanjutkan pengajian.

“Bekas pelajar tidak akan terhukum dengan mekanisme CCRIS, kerana badan itu bukan untuk menghukum,” katanya menjawab soalan Datuk William Nyallau (BN-Lubok Antu) yang meminta kementerian itu menyatakan kesan nama peminjam disenaraikan dalam CCRIS.

Menjawab soalan tambahan mengenai statistik peminjam PTPTN yang tamat pengajian dari 2014 hingga 2016, Mary Ann berkata, seramai 728,935 pelajar telah menamatkan pengajian dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, seramai 701,895 peminjam PTPTN telah disenaraikan dalam rekod CCRIS.

Kepada soalan tambahan dari Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Timbalan Menteri itu berkata, semua bekas pelajar diberi tempoh sehingga enam bulan dari tarikh tamat pengajian untuk membuat bayaran.

Kata beliau, sekiranya gagal berbuat demikian, nama mereka akan diserahkan kepada CCRIS untuk direkodkan dan sebagai didikan kepada pelajar berkenaan bertanggungjawab pada hutang berkenaan. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: