HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 November 2016

Dana luar dibimbangi ada agenda tertentu - Shahrir

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan agar setiap dana yang diterima bagi membiayai organisasi atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini, khususnya dari Barat, wajar diteliti kerana dibimbangi mempunyai agenda tertentu.
 
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata dana berkenaan termasuklah daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan George Soros.
 
"George Soros ada nilai-nilai hidup yang berbeza daripada masyarakat kita, apatah lagi OSF yang membawa makna sekular dan terbuka.
 
"Sebab itulah sesebuah organisasi yang terima dana dari orang seperti Soros harus berwaspada kerana berkemungkinan, tanpa disedari, ada hala tuju yang ditentukan mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.
 
Baru-baru ini, Majlis Peguam mengakui ia menerima sejumlah RM53,757.12 (US$15,000) daripada OSF sebagai geran untuk menjalankan kajian penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Datuk Seri M. Ramachelvan berkata pembiayaan itu diterima daripada OSF pada 7 Jan 2015.
 
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata pembiayaan dana luar termasuk yang melibatkan politik boleh menimbulkan masalah kepada negara sekiranya tidak dikawal.
 
"Penyaluran dana daripada institusi berkaitan adalah membimbangkan kerana terbukti sebelum ini, ia menyebabkan berlaku perkara-perkara besar seperti perubahan pemerintahan dan politik dalam sesebuah negara," katanya.
 
 

Tiada ulasan: