HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 November 2016

Didakwa miliki banglo RM5.5 juta, ini jawapan Ketua Polis Negara

khalid-sanjeevan 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar nampaknya tidak menafikan dakwaan berhubung sebuah rumah banglo bernilai RM5.5 juta yang dimiliknya sebaliknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

Khalid nyata tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya susulan pendedahan pengerusi badan pemantau MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan yang juga membuat laporan kepada SPRM baru-baru ini.

Ditanya mengenai banglo tersebut, Khalid menjawab “Saya serahkan kepada mereka,” katanya dipetik dalam akhbar bahasa Inggeris, The Sun.

Malah, Khalid juga menuduh Sanjeevan sakit hati dengan beliau memandangkan polis mengambil tindakan terhadapnya yang terlibat dalam banyak kes jenayah.

Semalam, Sanjeevan dalam laporannya kepada SPRM mendakwa Khalid memiliki sebuah rumah mewah di Mantin, dan berkata beliau mempunyai dokumen membuktikan tuduhan itu.

Ogos lalu, Sanjeevan menyerahkan dokumen pendaftaran syarikat kepada SPRM bagi menyokong dakwaan sebuah syarikat senjata api dikaitkan dengan adik Khalid, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Minggu lalu, polis Bukit Aman bertindak menyerbu kediaman Sanjeevan di Kajang, dan menyita beberapa kenderaan yang didaftarkan atas namanya.

Sitaan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Seksyen 45.

Sanjeevan ditahan pada 22 Jun kerana disyaki melakukan pemerasan dan ugutan jenayah.

Aktivis 32 tahun itu diberkas Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) sebaik sahaja didakwa menerima wang perlindungan RM25,000 daripada pengadu, seorang pengusaha judi haram berusia 38 tahun.

Tiada ulasan: