HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 November 2016

Ditanya mengenai 1MDB, Zahid suruh tanya Menteri Kewangan

zahid-hamidi 


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengelak daripada menjawab sebarang pertanyaan membabitkan isu terpalit dengan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid berkata sebarang pertanyaan mengenai 1MDB akan dijawab oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani kelak semasa giliran menggulungnya tiba nanti.

“Itu Menteri Kewangan Kedua akan jawab nanti,” katanya.

Terdahulu Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mendesak dengan menyoal sama ada siasatan polis terhadap sumbangan bernilai RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dibuka kembali apabila maklumat menunjukkan ia sebenarnya bukanlah derma.

Ia merujuk kepada beberapa dakwaan – termasuk oleh Jabatan Kehakiman AS – yang menyatakan dana itu bukan datang daripada bangsawan Arab sebaliknya berasal dari 1MDB.

Gobind juga meminta menteri menjelaskan sama ada sebahagian daripada dana dipulangkan semula kepada ‘penderma’ seperti didakwa Najib.

Mengenai permintaan Gobind supaya Zahid menjelaskan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau bertemu dengan penderma terbabit, anggota parlimen Bagan Datok itu sekali lagi membuat penegasan sama.

“Saya mengadakan pertemuan dengan kedua-dua sumber itu yang mengatakan begitu (memberi derma),” katanya.

Zahid juga menyatakan beliau sudah memberi penjelasan kepada pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Tiada ulasan: