HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 November 2016

Ini balasan pegawai SPRM dera isteri

MUHAMMAD Nazrin Abdullah (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak, Muar, Isnin lalu, atas tuduhan menggugut birasnya dengan sebilah parang panjang, September lalu. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Muhammad Nazrin Abdullah (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak, Muar, Isnin lalu, atas tuduhan menggugut birasnya dengan sebilah parang panjang, September lalu. – NSTP/Syarafiq Abd Samad


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuang kerja seorang pegawainya, Muhammad Nazrin Abdullah yang didakwa mendera isterinya sehingga cedera teruk baru-baru ini.

Muhammad Nazrin, 37, yang kini sedang berdepan pendakwaan di mahkamah kerana memukul isterinya juga didapati bersalah terlibat dengan dadah oleh mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada September lalu.

Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah yang mengatakan SPRM memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan berkompromi jika ada pegawainya yang melanggar peraturan organisasi.

“Keputusan memberhentikan perkhidmatan Muhammad Nazrin dibuat Lembaga Tatatertib SPRM,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin lepas dia turut dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengugut biras lelakinya, Mohammad Faris Ngatiman.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan menakutkan secara jenayah dengan cara menunjukkan sebilah parang panjang dengan niat menakutkan Mohammad Faris di sebuah rumah di Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir kira-kira pukul 7.10 pagi, 21 September lalu.

Beliau juga bertindak agresif apabila mengamuk di dalam mahkamah kerana tidak berpuas hati pasportnya diarahkan serah kepada pihak berkuasa.

Kes tersebut sebelum itu tersebar di laman sosial Facebook setelah isteri tertuduh memuat naik status kisah keganasan rumah tangganya dan mendakwa suaminya yang merupakan seorang pegawai SPRM sering mendera dan melakukan serangan seksual terhadapnya.

Tiada ulasan: