HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 November 2016

Jangan salur perasaan tidak puas hati menerusi demonstrasi - JAKIM

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Khutbah Jumaat hari ini menasihati semua pihak khususnya penganut Islam agar tidak melempiaskan perasaan tidak puas hati menerusi demonstrasi atau tunjuk perasaan sebagai cara untuk menukar sesebuah kerajaan. 
 
Khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu berkata, himpunan tunjuk perasaan hanya akan mengundang campur tangan asing dalam pentadbiran yang akhirnya bakal mewujudkan situasi huru-hara dalam negara.
 
Tanpa menyatakan secara spesifik mengenai demonstrasi berkenaan, ia dipercayai merujuk Himpunan BERSIH 5 yang akan diadakan esok di ibu negara.
 
"Dalam hal ini, Islam telah menunjukkan suatu kaedah yang sesuai untuk mengubah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah iaitu dengan cara nasihat, berdoa, dan membantu pemerintah dalam hal-hal kebaikan sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW.
 
"Kaedah ini sama sekali tidak boleh diubah dengan cara yang menyalahi syarak sebagaimana cara demonstrasi, perarakan, tunjuk perasaan, rapat umum dan menyatakan bantahan beramai-ramai terhadap pemerintah secara terang-terangan dalam perhimpunan umum," menurut khutbah berkenaan.
 
Sekiranya demontrasi tetap diteruskan, merujuk khutbah itu lagi, maka ia akan menyingkap kelemahan pihak berkenaan kerana tidak mampu menasihati pemerintah dengan cara yang betul. 
 
"Tambahan pula, demonstrasi jalanan akan menimbulkan banyak mafsadah seperti kerosakan harta awam, menimbulkan sentimen perpecahan, mencetus ketegangan dan menjadi bibit perpecahan rakyat," menurut khutbah itu lagi.
 
Walau bagaimanapun, ujar khutbah lagi, Islam tidak menyekat kebebasan, namun ia perlu berlandaskan batas-batas yang ditentukan agama.
 
Himpunan BERSIH 5 yang akan berlangsung esok mensasarkan beberapa lokasi di ibu negara sebagai tempat perkumpulan sebelum berarak menuju Dataran Merdeka.
 
Himpunan esok dijangka panas ekoran tindakan penyokong Gerakan Baju yang turut serta turun padang bagi menghalang himpunan anti-kerajaan itu. 


Tiada ulasan: