HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 November 2016

Kehadiran Tun M di Parlimen tak bawa apa-apa perubahan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan membawa apa-apa makna kepada sistem Parlimen hari ini, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said. 
 
Sebaliknya Azalina menegaskan, tindakan itu tidak lebih daripada gimik politik ekoran ahli Parlimen pembangkang mahu memperincikan isu imuniti di kalangan ahli Dewan Rakyat.
 
"Saya berpandangan kehadiran Tun Dr Mahathir tidak akan membawa apa-apa makna kepada sistem Parlimen hari ini.
 
"Tindakan ahli Parlimen pembangkang menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen menunjukkan mereka begitu terdesak sehingga perlu mendapatkan sokongan daripada pihak luar.
 
"Saya hairan kenapa pembangkang tidak menggunakan Peraturan Mesyuarat sedia ada bagi membawa usul untuk dibincangkan sesuatu perkara yang tidak dipersetujui di dalam Dewan Rakyat," kata Azalina dalam kenyataan, hari ini.
 
Dr Mahathir Mohamad tiba di Parlimen kira-kira jam 10.30 pagi tadi bagi menghadiri mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen.
 
Ini pertama kali pengerusi Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (PPBM) itu menjejakkan kaki ke bangunan itu sebagai pembangkang.
 
Ini juga mungkin kehadiran pertama beliau ke parlimen sejak berundur sebagai perdana menteri 13 tahun lepas iaitu pada tahun 2003.
 
Mengulas lanjut Azalina berkata, sebuah jawatankuasa boleh ditubuhkan untuk menyelesaikan sesuatu isu seperti usul yang pernah dibawa oleh mendiang Karpal Singh berkenaan penahanannya di bangunan Parlimen sebelum ini.
 
"Usul itu telah diluluskan dan satu Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut.
 
"Jawatankuasa yang dibentuk itu turut dianggotai oleh Ahli Parlimen BN dan Pembangkang yang mana Lim Kit Siang (Ipoh Timur) juga antara ahlinya.
 
"Dewan Rakyat mempunyai mekanisme dan prosedur tersendiri untuk mengadili sesuatu perkara itu secara adil dan saksama," katanya.
 
Dalam sidang media itu, turut hadir adalah Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Ketua Anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang.
 
Lebih 20 orang anggota parlimen pembangkang dilihat hadir mesyuarat yang dianjurkan di bangunan sementara di Parlimen.
 
 

Tiada ulasan: