HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

KPDNKK perlu teliti syor mekanisme penetapan harga minyak masak - Ahmad Zahid

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu meneliti cadangan mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak itu demi kesejahteraan rakyat.

"Itu cadangan yang harus diteliti dengan baik oleh pihak KPDNKK dan bukan sahaja daripada NGO (badan bukan kerajaan) malah maklum balas daripada media dan orang ramai juga boleh diguna pakai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Tangani Kos Sara Hidup, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa NGO supaya mekanisme penetapan harga minyak masak diwujudkan agar pengilang dan pembekal tidak menetapkan harga bahan itu sewenang-wenangnya hingga membebankan rakyat.

Beliau berkata cadangan dan maklum balas berkaitan mekanisme itu perlu disalurkan kepada KPDNKK untuk dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan.

Mengenai kegiatan penyeludupan minyak masak, timbalan perdana menteri berkata Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dengan kerjasama KPDNKK akan memperhebatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia, mengalir ke luar negara.

Katanya setakat ini beliau belum menerima sebarang maklumat bahawa terdapat unsur rasuah di Kom-pleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan negara yang digunakan sebagai laluan untuk menyeludup bekalan bersubsidi terbabit seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

"Kebocoran ini bukan melalui lorong rasmi, ia dibolosi melalui lorong-lorong tikus.

"Jika ada bukti (rasuah) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Menurutnya pembekal minyak masak, peniaga dan pengguna juga harus sedar bahawa bahan bersubsidi seharusnya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja dan tidak sepatutnya mengalir ke luar negara.


Tiada ulasan: