HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

Lesen syarikat tipu pakej umrah tidak akan disambung - Nazri

MALAYSIA GAZETTE


Nazri Abdul Aziz
Nazri Abdul Aziz 
 
 
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menyenarai hitam beberapa syarikat pengendali pelancongan yang didapati menipu dalam tawaran pakej umrah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) berhubung penipuan dalam pakej ditawarkan syarikat berkenaan sehingga ramai terkandas tidak dapat menunaikan ibadat umrah.

Kata beliau, sebelum itu siasatan ke atas syarikat berkenaan dibuat terlebih dahulu berdasarkan aduan dan jika terdapat bukti wujud unsur penipuan, tindakan menyenaraikan hitamkan diambil.

“Lesen bagi syarikat yang telah disenarai hitamkan ini tidak akan disambung lagi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Nazri, MKSU yang ditubuhkan pada 28 Ogos 2014 bertanggungjawab bertanggungjawab menyelaras dan mengawal selia termasuk sebagai pusat aduan bagi pengendalian pakej umrah.

Melalui MKSU itu, katanya, beberapa pihak turut diberi tanggungjawab membantu bagi kes penipuan seperti polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

“Kerjasama daripada agensi penguatkuasaan ini dapat diperingkatkan dan ditambah baik, selain langkah mengawal dan membendung kes penipuan dapat dilakukan lebih cepat serta berkesan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, peingkatan bilangan aduan dan nilai kompaun yang semakin bertambah juga menunjukkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kes penipuan pakej umrah mendapat perhatian orang ramai.

Ujar Mohamad Nazri, berdasarkan bilangan stastik, jumlah aduan penipuan pakej umrah bagi tahun 2014 ialah 35 kes, kemudian meningkat kepada 84 kes pada 2015, tetapi menurun kepada 65 kes sehingga Oktober lalu.

Bagi bilangan kompaun yang dikeluarkan pada tahun 2014 ialah RM75,500 melibatkan 15 kes, tahun 2015 (RM60,000) melibatkan tujuh kes dan tahun ini sebanyak RM140,000 kompaun dikeluarkan untuk 21 kes yang berkaitan dengan pengendalian pakej umrah.

“Walaupun kompuan banyak, ini tidak menggembirakan kita. Sebab kita kesian peserta yang terkandas dari mengerjakan umrah.

“Bagaimanapun, dengan adanya MKSU, mangsa penipuan dan juga orang ramai semakin peka dengan penipuan pakej umrah dan mereka sudah tahu saluran yang betul bagi menyampaikan kes berkaitan pakej umrah,” katanya.

Mengenai langkah yang diambil kementerian itu, beliau berkata, melalui MKSU juga beberapa insentif telah dan sedang diambil bagi mengawal serta mencegah dari terus menjadi barah kepada umat Islam di negara ini terutama pengenalan harga tawaran umrah.

Kementeriannya kata beliau, memperkenalkan Penetapan Harga Indikator Pakej Umrah iaitu menetapkan harga RM4,900 bagi pakej standard ekonomi yang menawarkan pakej 12 hari 10 malam.

“Kalau harga yang ditawarkan syarikat atau agensi pelancongan kurang daripada RM4,900 dan kurang daripada 12 hari 10 malam, itu menipulah jawabnya,” kata beliau. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: