HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 November 2016

Minyak masak dalam plastik berbahaya? Ini respon Menteri

HAMZAH ZAINUDIN 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi jaminan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan plastik di negara ini adalah berkualiti dan bukan minyak terpakai.

Hamzah menolak dakwaan mengatakan minyak paket yang dijual adalah dikitar semula oleh pihak tertentu.

“Tidak betul dakwaan sesetengah pihak bahawa kualiti minyak dalam bungkusan plastik tidak bagus (berkualiti).

“Ia propaganda dilakukan sesetengah pihak yang menyebabkan pembelian panik pengguna dan akhirnya mereka akan marahkan kerajaan kerana harga minyak masak dalam botol lebih mahal.

“Dulu kita berikan subsidi untuk minyak dalam botol, namun sekarang tidak lagi,” katanya kepada pemberita selepas lawatan dan pemeriksaan di Pasar Besar Meru, pemborong dan syarikat pembungkusan semula minyak masak pada Rabu.

Beliau berkata, proses untuk mengitar semula minyak masak terpakai lebih mahal berbanding minyak masak yang dikilangkan daripada sumber asal.

Sehubungan itu, dakwaan ada kilang pembungkusan semula minyak masak menggunakan minyak dikitar semula sebelum dijual dalam beg plastik adalah tidak berasas.

Katanya, dalam lawatannya di sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Taman Klang Utama, di sini, semalam, beliau dimaklumkan oleh pengusaha bahawa proses itu lebih mahal jika pengilang mahu menjualnya pada harga RM2.50 yang ditetapkan kerajaan.

Pada masa sama, Hamzah berkata, kualiti minyak masak sama ada dalam bungkusan plastik atau yang dibotolkan tidak boleh lebih tahap kekeruhan (CP) 8.

Katanya, kebanyakan pengeluar menjual minyak masak dengan kualiti CP7 atau 8 walaupun ada yang menjual minyak masak dengan kualiti CP6.

“Kita tidak benarkan mereka mengeluarkan minyak masak berkualiti CP10,” katanya.

Tiada ulasan: