HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 November 2016

Noh akui JPP tidak sehaluan dengan Ahli Majlis PBT

 
 
Noh Omar
Noh Omar
 
 
Hanya Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tiga negeri tidak memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan.
 
Negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang masing-masing diperintah oleh DAP, PKR dan Pas menerusi pembentukan Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH).
 
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, JPP adalah jawatankuasa yang bergerak sebagai satu entiti dianggotai wakil masyarakat setempat dalam kawasan bandar.
 
Menurutnya, fungsinya adalah bagi memantau pelaksanaan program pembangunan kemasyarakatan dan modal insan yang dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan pusat, di samping menangani isu perbandaran serta penyampaian perkhidmatan secara berterusan.
 
"Tidak timbul dakwaan sebelah (pembangkang) mengatakan penubuhan JPP membazir wang rakyat dan kerajaan. Ia untuk Kerajaan Persekutuan, sebagai Ahli Majlis PBT yang berfungsi bagi kerajaan negeri.
 
"Penubuhannya dibuat setelah kerajaan mengambil kira lebih 70 peratus penduduk negara ini tinggal dalam bandar dan isu-isu perbandaran pula menjadi semakin kompleks," katanya menjawab soalan bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen hari ini.
 
Kata Noh, bagi membantu Pengerusi JPP yang dilantik kementeriannya untuk mengurus zon tadbir masing-masing, kerajaan membayar elaun sebanyak RM800 bagi kawasan Majlis Perbandaran dan RM500 di kawasan Majlis Daerah.
 
Setiausaha JPP bagi kawasan Majlis Perbandaran diberi elaun RM400 sebulan dan RM250 untuk kawasan Majlis Daerah.
 
Selain itu, katanya, lapan Ahli Jawatankuasa JPP juga diberi elaun kehadiran mesyuarat sebanyak RM75 bagi setiap mesyuarat yang dihadiri dengan maksimum enam kali setahun.
 
"Peruntukan ini ada di bawah kementerian saya, tapi kita tidak ada peruntukan khas untuk mereka membuat sebarang aktiviti," katanya.
 
Mengulas lanjut pertanyaan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong), Noh berkata, JPP ada di seluruh negara, tetapi tugas antara Pengerusi jawatankuasa itu dengan Ahli Majlis lantikan kerajaan negeri agak berbeza.
 
Sepatutnya ujar beliau, kedua-dua pihak berkenaan bekerjasama, tetapi kerana di Pulau Pinang diperintah oleh kerajaan yang berbeza dengan Barisan Nasional (BN), maka mungkin ada ketidakserasian kerana sebagai Pengerusi JPP, ia dilantik secara pentadbiran oleh Kerajaan Persekutuan.
 
"Pada masa sama, kita tahu dalam zon yang dilantik JPP ini ada juga Ahli Majlis yang dilantik kerajaan negeri," katanya.
 
Beliau turut menjelaskan, dakwaan pembaziran wang negara untuk membayar elaun kepada JPP tidak tepat kerana mereka ada tugas masing-masing. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: