HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 November 2016

PAFA akan buat rayuan berhubung hukuman tiga perlawanan tanpa penonton

ASTRO AWANI


PAFA akan buat rayuan berhubung hukuman tiga perlawanan tanpa penonton
Keputusan itu dibuat ekoran penyokong The Bos Gaurus bertindak di luar kawalan semasa perlawanan Liga Super 2016 antara Perak dan JDT di Stadium Perak, 6 Ogos lalu. - Wikipedia/Fail
 
 
IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan membuat rayuan susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan skuad seladang itu bermain pada tiga perlawanan rasmi tanpa penonton di gelanggang sendiri.

Keputusan itu dibuat ekoran penyokong The Bos Gaurus bertindak di luar kawalan semasa perlawanan Liga Super 2016 antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, 6 Ogos lalu.

Presiden PAFA Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata pihaknya akan membuat rayuan pada masa yang dibenarkan dengan mengemukakan beberapa bukti memandangkan hukuman yang dikenakan itu agak berat.

"Hukuman itu dibuat kerana kawalan keselamatan dikatakan kurang pada malam itu sedangkan kita ada lebih 1,000 anggota keselamatan yang bertugas termasuk polis dan Rela," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang menguatkan barisan pemain dalam pasukan bola sepak itu dan sokongan penonton amat penting untuk meraih kemenangan pada perlawanan tahun hadapan.

"Kita (pasukan Perak) amat memerlukan pertolongan penonton untuk kemenangan, sekiranya bermain tanpa penonton, ia bukan sahaja merugikan penonton malah pasukan sendiri," katanya.

Ditanya sama ada PAFA akan menghalang penyokong luar daripada memasuki Stadium Perak, Abdul Puhat berkata ia tidak akan berlaku kerana sukan adalah tempat untuk penonton bersatu dan memperoleh keseronokan.

"Sekiranya keadaan memaksa, sebagai langkah terakhir, kita hanya akan mengehadkan sahaja jumlah penonton lawan tetapi kita tidak akan menghalang kerana sukan adalah untuk semua.

"Saya menyeru kepada semua penyokong supaya menghormati antara satu sama lain, biarlah yang datang ke stadium itu mendapat keseronokan hasil permainan yang berkualiti dan bukannya mendapat kecederaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata PAFA akan menuntut ganti rugi daripada pihak berkaitan atas kerosakan yang berlaku di Stadium Perak.

Semalam, FAM memutuskan PAFA didapati bersalah atas dua pertuduhan, melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Pelanggaran Berulang bagi pertuduhan pertama.

Pertuduhan kedua pula ialah melanggar Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Penganjuran Perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 berkenaan Kegagalan Mematuhi dan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Pelanggaran Berulang.

PAFA dihukum denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua didenda RM37,500 dan bermain tiga perlawanan rasmi di laman sendiri tanpa penonton (termasuk hukuman bermain satu perlawanan tanpa penonton seperti diputuskan pada 4 Mac 2016). -- Bernama

Tiada ulasan: