HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 November 2016

PAS kata jangan takut dengan Trump, kawan baik golf Najib

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin. - Gambar fail
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin. – Gambar fail


Presiden Amerika Syarikat baharu, Donald Trump yang juga kawan baik golf Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu ditakuti, kata Mursyidul Am PAS Hashim Jasin.

Hashim dilihat senada dengan Najib yang memberikan pujian dan mengucapkan tahniah kepada Trump baru-baru ini selepas kemenangannya.

Cuma bezanya, Hashim menggunakan hujah agama supaya umat Islam tidak takut kepada presiden baharu itu.

“Sekarang orang bising pasal Trump menang di AS.

“Orang Islam pucat habis (selepas) dia menang, macam-macam ulasan dibuat tapi kita lupa kita ada kekuatan yang beratus kali (lebih hebat) berbanding AS,” katanya.

Berucap di himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Petaling Jaya hari ini Hashim berkata ketakutan dan kebimbangan terhadap kejayaan Trump itu hanya akan menunjukkan kejahilan dalam agama.

Munculnya perasaan bimbang itu katanya adalah disebabkan umat Islam meminggirkan al-Quran.

Kata Hashim kegusaran itu akan terpadam jika umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan dan menghadapi kemungkinan penindasan oleh pemimpin penuh kontroversi itu.

“Kita lebih takut kuasa manusia daripada tuhan – ini bahaya.

“Kita mesti ikut al-Quran. Apabila kita pinggirkan Islam, kita tak peduli apa tuhan kata, jadilah macam sekarang kacau (huru-hara),” katanya.

Trump yang sebelum ini dikenali sebagai hartawan harta tanah serta personaliti televisyen mengejutkan ramai apabila memenangi pilihan raya umum presiden AS pada 9 November lalu.

Muncul dengan pendekatan keras dan kontroversi, Trump – dari parti Republikan – mengetepikan calon lebih popular, Hillary Clinton dari Demokrat.

Hillary adalah bekas wanita pertama AS antara Januari 1993 hingga 2001.

Tiada ulasan: