HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 November 2016

PAS mahu Islam dominan: PKR, DAP, PPBM bagaimana?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Kita mahu jadi pembangkang yang memberi nasihat; kita bersatu dalam perkara yang sama dan tidak berpecah dalam perkara yang berbeza," kata presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
 
Berikutan itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin pula berkata, PAS sentiasa membuka pintu pada mana-mana parti berkerjasama dengannya berdasarkan ajaran agama Allah. 
 
“Sebab dulu kita tak buat atas dasar itu, jadilah apa berlaku sekarang (bubar PR). Pengalaman memaksa kita meletakkan syarat dan ini mesti kita lakukan. Kalau mereka setuju, DAP pun boleh bersama. 
 
“Seeloknya satu lawan satu, tapi kalau dah tak boleh jadi satu lawan satu, kita terpaksa empat lawan satu,” katanya di Jerai, Kedah minggu lalu.
 
Beliau turut menyeru kepada parti-parti politik dan semua pemimpin dalam negara supaya jangan pinggirkan tuntutan al-Quran.
 
“PAS Islam, Umno Islam, PKR pun kebanyakan Islam dan DAP pun ada orang Islam. Dalam erti kata lain kebanyakannya Islam. Sekarang al-Quran kata berpegang teguh dengan agama Allah.
 
“Kalau nak bersatu memang bagi pihak Pas pintu sentiasa terbuka pagi dan petang, tapi bersatu itu mestilah berdasarkan kepada agama Allah. Tak usah cari yang lain sebab tak akan berjaya,” katanya.
 
Menurutnya, PAS ada banyak pengalaman sejak 65 tahun penubuhannya yang meliputi ikhtiar menjalin kerjasama politik dengan BN dan PR.
 
“Mari kita bersatu berdasarkan al-Quran. Bukan saya tak buka peluang. Saya buka kepada DAP pun boleh bersama kita kerana Nabi pun pernah buat tahaluf selepas perjanjian Hudaibiyah. 
 
“Antara syarat itu mereka tak boleh berperang dengan Nabi Muhammad selama 10 tahun.
 
“Ini perjanjiannya dan kalau ada antara mana-mana kabilah yang hendak bersama berlindung di bawah Nabi Muhammad untuk kerajaan Islam pun boleh. Kenapa kita nak tolak DAP? 
 
“Mari, hukumnya boleh bertahaluf dengan syarat jangan ganggu al-Quran itu. Kamu dengan agama kamu, aku tak ganggu dan jangan kamu mengganggu agama kami,” katanya.
 
Bagaimanapun katanya, sekiranya ada campur tangan yang bersabit dengan akidah oleh pihak luar, maka PAS tidak boleh menerimanya.
 
“Orang Islam wajib pegang kepada janji, kita tak boleh mungkir. Orang lain juga boleh bersama Pas, Umno pun kita buka tapi dengan syarat Islam mesti memimpin sebab kita dah bagi orang lain pimpin kita -- tak sampai ke mana.
 
“Kita bersama dengan parti-parti dahulu, kita bertahaluf dan pernah masuk BN. Kita dah duduk dalam PR, semua itu mereka di depan (dominan) dan tak akan sampai kepada matlamat (Pas),” katanya.
 
Sejauh mana kesanggupan DAP?
 
Kali ini syarat tahaluf siyasi PAS dengan mana-mana parti adalah jelas – ikut al Quran. Jika DAP yakin seperti beberapa pemimpin Peraknya sanggup menukil ayat al Quran dalam ceramah mereka, PAS sanggup lupakan perbezaan lama.
 
Namun yang menjadi masalahnya ialah pendirian DAP dalam hal ini amat konsisten. Pada 2001, DAP meninggalkan Barisan Alternatif apabila PAS mahu melaksanakan syariat Islam di Kelantan. 
 
Ketika dalam Pakatan Rakyat sekalipun DAP beberapa kali mencabar dan menggertak PAS supaya mengenepikan “angan-angan” melaksanakan hukum Islam.
 
Ketika itu PAS masih berharap DAP faham pendirian Islamnya. Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menziarahi mendiang Karpal Singh membawa kek hari jadi untuk Karpal sebagai kias bahawa muslim boleh bekerjasama dengan non-Islam. 
 
Namun DAP enggan memahami pemikiran dan komitmen PAS pada ajaran Islam. Akhirnya, DAP pula secara unilateral mengumumkan Pakatan Rakyat sudah berkubur.
 
PKR terkedu. Tidak tahu siapa yang harus dipujuk -- DAP atau PAS. Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali keberatan bermufarakah dengan PAS. Namun ada kepimpinan PKR khuatir akan menyinggung DAP jika bertahaluf dengan PAS.
 
Lantas lahirlah Pakatan Harapan atas inisiatif PKR. Bagaimanapun PAS tidak menganggotai pakatan baru itu dan tempatnya secara rasmi diambil alih Parti Amanah Rakyat (Amanah) yang ditimang-timang berdaya menggantikan PAS.
 
Namun sudah lebih setahun Amanah wujud, ia tidak menggerhanakan PAS yang bergerak sendirian. Amanah dilihat mempunyai ramai pemimpin berkaliber tetapi mengadapi masalah kurang pengikut. 
 
Ini menggusarkan pembangkang sehingga lahirlah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat gesit dan mampu merobek kekuatan Umno. Hakikat ini diakuri oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Malangnya, kemunculan PPBM menjejaskan wibawa Amanah dan apabila dihidupkan semula idea memingit PAS menyertai pelan kerjasama pembangkang, Amanah dilihat terpaksa bersikap lunak terhadap PAS.
 
Bagaimanapun pendirian Hashim Jasin yang mahu perjuangan menentang Umno-BN dilakukan mengikut strategi “satu lawan satu” dengan mengguna-pakai syarat Islam mendasari pendekatan itu, membawa cabaran baru. 
 
Mahukah DAP mengendurkan fobianya terhadap Islam? Sehubungan itu, bolehkah Amanah pula mengakui bahawa dalam soal penafsiran strategi politik Islam, PAS lebih pakar?
 
Di samping itu adakah PKR dan PPBM berani menyahut cabaran PAS supaya menjadikan al Quran dan As Sunnah sebagai pedoman perjuangan menundukkan Umno-BN?
 
PAS semakin tegas bahawa kali ini yang dominan dalam perjuangan pembangkang ialah Islam. Sudi atau beranikah pembangkang bersatu di atas nama Islam?
 
 

Tiada ulasan: