HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 November 2016

PAS Selangor nafi terima arahan tolak bayar SPLASH RM2.7 bilion

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor nafi ada menerima arahan dari pimpinan pusat supaya ahli exco parti itu menolak bayaran pampasan RM2.7 bilion kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH), tegas Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad. 
 
"Tidak ada arahan apa-apa. Jika PAS Pusat nak beri arahan selalunya akan ditanya kepada saya dahulu. 
 
"Pusat tidak ada tanya kita (PAS Selangor) maka arahan pun tiada. Jadi tidak masuk akal PAS Pusat beri arahan namun tidak tanya kita (exco negeri) sedangkan kita terlibat dalam hal ini," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di DUN Selangor, tengah hari tadi.
 
Semalam, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menolak tanggapan bahawa PAS Pusat pernah mengeluarkan arahan agar Exco PAS di Selangor tidak bersetuju dengan nilai pampasan kepada SPLASH bernilai RM2.7 bilion itu.
 
“Tiada arahan atau kenyataan (sedemikian) daripada PAS Pusat. Yang penting keputusan itu kita buat berdasarkan kepada penilaian dan maklumat tepat yang sepatutnya. Sebab kita nak beli SPLASH, kita pun nak beli dengan harga sewajarnya, tak boleh terlalu rendah dan terlalu tinggi. Mesti berdasarkan penilaian pihak ketiga. 
  
“Kita (negeri) sudah buat penilaian, kerajaan persekutuan pun akan buat penilaian, nanti akan dapat satu angka yang kita persetujui bersama, maka adillah. 
 
“Di pihak mana pun, bila kita berikan maklumat ini dengan tepat, saya kira mereka boleh terima,” kata Zaidy semalam.
 
Menurut Zaidi lagi, exco PAS di Selangor juga sentiasa merujuk PAS Pusat dalam mendapatkan sebarang nasihat berhubung hal itu.
 
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini menyatakan kekhuatirannya jika kerajaan negeri dibawah pemerintahan Azmin bersetuju dengan tuntutan SPLASH sebanyak RM2.7 bilion untuk mengambil alih aset syarikat konsesi air itu.
 
Ia berikutan peningkatan RM2.45 bilion daripada tawaran asal yang diberikan kerajaan negeri ketika di bawah terajunya iaitu RM250.6juta sahaja.
 
Beberapa pihak sebelum ini memberi peringatan jika syarikat konsesi air di beri pampasan terlalu tinggi, ia akan menyukarkan usaha memastikan tariff air tidak membebankan rakyat.  
 
Sebelum dipaksa meletakkan jawatannya, Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi air iaitu, Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) dengan bayaran pampasan sebanyak RM2.47 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (bayaran pampasan RM3.11 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (bayaran pampasan RM990 juta).
 
Hanya SPLASH enggan menerima tawaran daripada kerajaan negeri berikutan tidak bersetuju dengan jumlah pampasannya.
 
SPLASH mendakwa  nilai syarikat itu berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahunnya  dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
 
Bagaimanapun Khalid memberitahu tawaran RM250 juta itu dibuat selepas mengambilkira jumlah liabiliti yang ditanggung syarikat itu.
 
 

Tiada ulasan: