HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 November 2016

Pemuda PAS Selangor desak kerajaan negeri perjelas nilai ambil alih SPLASH

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS (DPP) Selangor mendesak kerajaan negeri untuk memberi penjelasan bersabit peningkatan kos pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) yang bertambah 10 kali ganda dari nilai asal. 
 
Pengarah Jabatan Penerangan DPP Negeri Selangor, Ahmad Hakimi Othman berkata, persoalan utama yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri adalah bersabit 'sumber' untuk menampung sejumlah RM2.45 bilion, selepas ia meningkat daripada RM250 juta kepada RM2.7 bilion.
 
"Pengumuman baru-baru ini tentang cadangan pengambilan RM2.7 bilion equiti SPLASH menimbulkan persoalan kerana ia akan meningkatkan kos ambil alih dari RM9.65bilion kepada RM12.1bilion. Sekiranya ini muktamad berlaku, bagaimana kerajaan negeri untuk mengurus tambahan RM2.45 bilion. 
 
"Apakah kerajaan Selangor akan menggali khazanah perbendaharaan Selangor sebanyak RM2.45 bilion?
 
"Alternatif lain untuk mendapatkan RM2.45 bilion? Adakah perlu soft loan dari Kerajaan Perseketuan?
 
"Sekiranya itu berlaku, apakah kesan kepada tarif air akan datang dan apakah gangguan pula kepada bekalan air kerana penangguhan proses penstrukturan air yang tidak selesai kerana konflik pertindihan RM2.45bilion tersebut?," katanya dalam satu kenyataan.
 
Sebelum ini mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH hanya RM250 juta.
 
Ia selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung SPLASH, namun ditolak syarikat konsesi itu dengan menegaskan nilai syarikatnya berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
 
Sebaik sahaja Datuk Seri Azmin Ali dilantik menggantikan Khalid, ADUN Bukit Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan sebanyak RM2.45 bilion daripada tawaran asal.
 
Khalid menyifatkan nilai itu sebagai satu pembaziran wang rakyat jika kerajaan negeri pimpinan Azmin akur dengan jumlah yang dituntut SPLASH itu.
 
Malah Khalid dalam sidang medianya semalam turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri akan menggunakan simpanan wang rizab yang dimiliki mereka untuk membayar pampasan sebanyak RM2.7bilion kepada SPLASH.
 
Untuk rekod, kerajaan Persekutuan memohon kerajaan negeri Selangor menangguh rundingan pengambil alihan aset SPLASH selama enam bulan lagi bagi pihaknya melantik badan penilai bebas antarabangsa ke arah memuktamadkan proses berkenaan.
 
"Maka, dari Pemuda PAS Selangor, isu yang melibatkan dana kerajaan rakyat Selangor dan bebanan bekalan air kepada rakyat diselesaikan sebaiknya supaya misi menjaga kebajikan dan maslahah rakyat dicapai," katanya lagi.

Tiada ulasan: