HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 November 2016

Pergi ke China minta bantuan selamatkan 1MDB?

 ARIF ATAN
 
 
Faiz FadzilFaiz FadzilKehadiran anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dalam lawatan rasmi kerajaan ke China minggu ini menimbulkan persoalan kemungkinan wujudnya usaha untuk mendapatkan bantuan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, penjenayah 1MDB yang diburu dunia tidak harus dibiar bebas dan diberikan layanan sebegitu istimewa.

“Beliau (Riza Aziz) disyaki mendapat faedah berbilion ringgit daripada curian wang 1MDB di mana beberapa banglo mewah di Amerika Syarikat (AS) dibelinya dengan menggunakan wang 1MDB.

“Beliau juga berbelanja mewah dalam pembikinan filem dan pesta arak serta permainan judi dengan menggunakan wang rakyat.

“Adakah pemergian ke China bagi mendapat bantuan kuasa baru dunia itu bagi menyelamatkan 1MDB yang dibelenggu hutang lebih RM50 bilion dan Riza daripada terus diburu oleh pihak berkuasa beberapa negara termasuk AS, Singapura dan Switzerland?” bidasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan Perdana Menteri dan keluarganya sama sekali tidak rasa bersalah menyalahgunakan kemudahan kerajaan.

“Sikap PM (Perdana Menteri) yang langsung tidak sensitif dengan keadaan rakyat yang dizalimi dan ditekan dengan kenaikan harga barang terutama petrol dan minyak masak, mereka boleh tanpa rasa segan silu dan bersalah kepada nasib rakyat terbang ke China menggunakan jet kerajaan.

“Perdana Menteri, Rosmah dan Riza harus ingat bahawa negara ini bukan milik kamu bertiga tetapi adalah milik rakyat Malaysia. Apakah kedudukan istimewa Riza dalam kerajaan yang membolehkan beliau bersama rombongan ke China?” soalnya lagi yang juga merupakan peguam.

Sehubungan itu, Faiz menyeru seluruh rakyat bangkit menumbangkan pemimpin zalim dan merompak harta negara ini seperti yang pernah berlaku pada diktator lain.

“Gaya hidup dan corak pemerintahan sebegini saling tak tumpah seperti bekas-bekas diktator dunia seperti Marcos, Suharto, Shah Iran dan sebagainya. Masa telah tiba untuk rakyat bangkit lawan diktator yang zalim dan kleptokrasi ini,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Riza Aziz yang namanya disebut Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, 20 Julai lalu dalam pemfailan permohonan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang berkait dengan 1MDB dikatakan sukar dikesan.

Bahkan, cubaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini untuk memanggil Riza dan ahli perniagaan Jho Low untuk memberikan kenyataan berhubung dengan isu berkenaan juga gagal.

Riza dan Jho Low dinamakan dalam saman sivil DoJ itu selain dua bekas pegawai Abu Dhabi sebagai antara pihak yang terbabit dengan penyelewengan dana 1MDB termasuk membeli hartanah maha mewah di Amerika Syarikat dan membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas.

Selain itu, mereka turut terbabit dalam memperoleh lebih AS$200 juta dalam hasil seni, melabur dalam projek utama pembangunan hartanah di New York serta membiayai produksi filem Hollywood.

Tiada ulasan: