HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 November 2016

PERKASA cadang 'ISA rasuah' untuk kes lebih RM1 juta

Anne Muhammad

 

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA mencadangkan penggubalan undang-undang baru lebih keras terhadap suspek pesalah rasuah.

Akta itu, kata presidennya Datuk Ibrahim Ali, antaranya harus membenarkan penahanan tanpa perintah mahkamah sehingga dua bulan bagi kes melibatkan angka lebih RM1 juta.

Katanya, udang-undang mirip Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu akan diusulkan dalam Persidangan Agung Tahunan NGO minggu ini sebelum dikemuka kepada kerajaan.

“Saya nak kemukakan satu cadangan dalam ucapan dasar saya, supaya kerajaan memperimbangkan mewujud Akta Sabotaj Ekonomi. Akta ini sama mekanismenya seperti ISA.

“Akta ini bagi membanteras rasuah, salah guna kuasa. Ia tidak terhad kepada pemimpin politik bahkan pegawai tertinggi kerajaan. Termasuk juga dalam syarikat GLC,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA.

Persidangan Agung Tahunan PERKASA yang ke-7 akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini dengan dianggarkan kehadiran 4,000 perwakilan dan ahli NGO itu seluruh negara.

Sementara itu, Ibrahim turut mengulas mengenai pertembungan persidangan mereka dengan BERSIH yang akan berlangsung Sabtu ini hanyalah kebetulan.

Katanya, pihaknya telah menempah dewan lebih awal dan tidak menyangka BERSIH dan Baju Merah turun berhimpun pada hari tersebut.

“Saya nak maklum, 19 hari bulan ini bertembung dengan perhimpunan BERSIH dan Baju Merah.

“Saya nak jelaskan di sini tarikh sudah lama kita tetapkan kerana susah nak dapatkan dewan, sewa hotel dengan harga berpatutan.

“Kita terpaksa tempah hotel awal jadi kita tetap tarikh awal dan tak tahu yang BERSIH akan mengadakan perhimpunan pada 19 November ini,” katanya.


Tiada ulasan: