HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 November 2016

PESANAN BERSIH MENJELANG PERHIMPUNAN 19 NOVEMBER

shahbudindotcom


Tiga hari sahaja lagi menuju perhimpunan BERSIH yang kelima dalam sejarah panjang perjuangan menuntut pilihan raya yang adil, penambahbaikan institusi dan usaha memperbaiki negara yang sudah lama rosak.

Masuk kali kelima rakyat Malaysia bakal berhimpun Sabtu ini untuk mendesak perubahan melalui jalan yang dibenarkan dalam undang-undang, dengan membangkitkan kesedaran orang ramai bahawa negara tidak boleh ditadbir pencuri, perompak dan penyamun.

Perhimpunan Sabtu ini bukanlah perhimpunan yang menjanjikan huru-hara dan boleh menggulingkan kerajaan dalam masa yang begitu singkat.

Ia bertujuan mendidik dan menyampaikan mesej perubahan kepada seluruh pelosok negara.

Itu sebabnya kenapa kita adakan konvoi menelusuri segenap ceruk kampung dan pekan, agar rakyat Malaysia tahu dan tidak terus tertipu.

Perhimpunan Sabtu ini bukanlah seperti sebuah perlawanan bola sepak antara pasukan merah melawan pasukan kuning.

Samseng-samseng Umno memang dijangka akan menimbulkan kekacauan dan mengganggu perjalanan perhimpunan BERSIH, namun sebenarnya mereka sendiri pun tidak tahu apa yang mereka perjuangkan.

Ketua mereka, Datuk Seri Jamal Yunos, tempoh hari telah terbukti tidaklah kebal pun sebenarnya.

Kita telah melihat bagaimana beliau meronta-ronta dan menjerit-jerit mahu melarikan diri dari kekecohan yang berlaku di Ampang. Seluruh negara telah ketawa melihat gelagat Jamal dan juak-juaknya.

Namun Jamal bukan musuh kita. Kita tidak turun ke jalan raya untuk melawan Jamal dan samseng-samseng Umno ini. Kita bukannya berhimpun untuk menunjukkan kekuatan atau bertanding siapa lebih ramai.

Kita turun ke jalan raya kerana berdiam diri berhadapan rasuah dan salah guna kuasa bukan lagi satu pilihan.

Kita berhimpun kerana kita punya hak untuk membantah rasuah dan salah guna kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal mega yang telah memberi gelaran ‘kleptokrasi’ kepada negara.

Jamal hanya menjadi galang ganti agar kita lupa dan tidak memberi tumpuan kepada musuh nombor satu rakyat Malaysia masa kini iaitu tidak lain perdana menteri sendiri.

Kita harus terus memberi fokus kepada skandal mega melibatkan Najib Razak, dan memberi fokus kepada tuntutan-tuntutan Bersih, yang tidak lain hanya mahukan sebuah Malaysia yang lebih baik untuk generasi anak cucu.

Kita berhimpun Sabtu ini untuk sebuah ‘Malaysia Baru’. Kita tidak perlu takut untuk menuntut perubahan, untuk memperbaiki negara yang kian rosak.

Kita tidak perlu takut dengan Jamal dan samseng-samsengnya. Kita pasti pihak polis akan memastikan keamanan dan keteraturan perhimpunan BERSIH buat kali kelima ini.

Tahun lalu kita telah menyaksikan bagaimana pihak polis begitu cekap sekali memastikan keamanan protes selama 34 jam, yang kumpulan samseng Baju Merah yang diberi makan oleh Umno ini hanya muncul pada saat-saat akhir.

Kita justeru berharap pihak polis akan bersiap sedia untuk berdepan provokasi jahat oleh juak-juak Jamal yang akan terus cuba mengalihkan fokus perhimpunan BERSIH daripada tujuan-tujuan yang telah kita nyatakan.

Sabtu ini saya harap rakyat Malaysia akan membuang jauh rasa takut dan resah mereka, dan turun beramai-ramai bagi menuntut sebuah Malaysia yang lebih baik.

Turun beramai-ramai. Satukan Tenaga. Malaysia Baru.

MARIA CHIN ABDULLAH 
Pengerusi BERSIH 2.0.

Tiada ulasan: