HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 November 2016

Puchong paling banyak pusat judi - Ahmad Zahid

 
 
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
 
 
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengeluarkan lesen perjudian sama ada kepada syarikat berkaitan judi mahupun orang perseorangan.
 
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihak yang mengeluarkan lesen bagi semua bentuk perjudian adalah bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBTM) di negeri masing-masing.
 
"Jangan letakkan gambaran jika wujud kawasan perjudian di setiap kawasan, itu kerana KDN yang keluarkan lesen. Tanggapan ini salah. Kita tidak pernah bersengkokol dalam kes ini," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
 
Ahmad Zahid berkata, antara kawasan paling banyak pusat hiburan keluarga, siber kafe dan pusat judi ialah Puchong di Selangor.
 
"Banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kerajaan Selangor… tolong pantau. Tolong ingatkan PBT di negeri ini supaya mengehadkan pengeluaran lesen kepada pusat-pusat ini," katanya sambil mengeleng kepala.
 
Mengenai kewujudan pusat judi di depan sekolah, Ahmad Zahid berkata, beliau menyedarinya kegiatan itu turut menjalankan aktiviti tersebut di sebelah masjid, kuil, tokong, malah berhampiran balai polis.
 
Itu, katanya, tidak bermakna kegiatan yang berleluasa di sekolah dan rumah ibadat berkenaan menggambarkan anggota polis tidak bertugas atau tidak peka dengan aktiviti perjudian.
 
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri agar mengeluarkan garis panduan kepada PBT masing-masing agar tidak menyambung lesen syarikat judi yang sudah tamat tempoh.
 
"Mana-mana pusat hiburan keluarga yang tamat tempoh, jangan sambung lagi lesen mereka. Ini dapat membantu dan meringankan tugasan polis serta agensi penguatkuasa lain dalam membanteras judi," katanya.
 
Menjawab pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang mendakwa mesin judi yang dirampas polis diberi semula kepada pusat perjudian, beliau berkata, tidak adil membuat tuduhan sedemikian.
 
Katanya, di balai-balai polis di seluruh negeri sudah tidak ada ruang lagi untuk menempatkan mesin judi yang dirampas dan ia menjadi bahan bukti kes mahkamah.
 
"Tuduhan mengatakan polis menghantar semula mesin judi itu adalah tidak benar dan jika mana-mana Ahli Parlimen mempunyai bukti, boleh melaporkan terus kepada saya," ujar belilau.
 
Menjawab soalan dari Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Ahmad Zahid berkata, usaha membanteras adalah tugasan bersama antara pihak berkuasa dengan kerajaan negeri.
 
Beliau turut mempertimbangkan cadangan supaya melibatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu polis dalam operasi membanteras perjudian.
 
"Kita akan pertimbangkan cadangan itu dan akan lihat dari aspek perundangan sebab dari segi perundangan ia tidak mengizinkan RELA dan APM terlibat," katanya. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: