HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 November 2016

Rafizi cadang Datuk Adam Rosly isytihar harta

Rafizi cadang Datuk Adam Rosly isytihar harta
Rafizi Ramli.
 
 
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mencadangkan Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly membuat pengisytiharan harta dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ini bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi timbul berhubung kekayaan luar biasa yang didakwa dimiliki Adam.

"Cara paling mudah untuk mengurangkan atau mencegah penyelewengan dan rasuah ialah ahli politik dan pegawai kerajaan berpangkat tinggi perlu mengisytiharkan harta setiap tahun. Saya sendiri akan isytihar harta minggu depan.

"Bagi kes Adam ini, cara paling mudah bukan saja dia tetapi seluruh parlimen kena ikut saya isytihar harta minggu depan. Lagi cepat Adam isytihar harta lebih mudah dan jika dia telus dan tiada apa yang disorokkan, dakwaan terhadapnya akan berhenti," katanya kepada media, di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mendakwa Adam, 28,  memiliki kekayaan luar biasa di usia yang terlalu muda.

Antaranya, Adam dikatakan memiliki rumah banglo berharga RM7 juta serta beberapa kereta mewah.

Bagaimanapun,  Adam kelmarin menafikan dakwaan tersebut dan mencabar Jamal melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau tidak mengetahui jenis perniagaan yang dijalankan Adam.

"Saya sebenarnya tak kenal dia. Dia agak baru dalam parti," katanya.


Tiada ulasan: