Oleh Shuhaniza Said

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersedia menimbang pembayaran sekitar
RM2.7 bilon untuk mengambil alih SPLASH namun jumlah sebenar pampasan
itu akan tertakluk kepada persetujuan kerajaan pusat dan syarikat
konsesi air itu sendiri, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan
Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.
Splash atau Syarikat Pengeluar Air Selangor sebelum ini menolak tawaran
RM250 juta daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim yang berundur pada tahun 2014.
Rundingan untuk mengatasi kebuntuan itu bagi melengkapkan penstrukturan
semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berlarutan
dibawah teraju pengganti Khalid, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Zaidy berkata anggaran tawaran baru RM2.7 bilion dicapai menerusi badan penilaian bebas yang dikerah oleh kerajaan negeri.
“Kita memang bersedia untuk 'figure' (angka) dalam lingkungan itu
(RM2.7 bil), kerana kita (kerajaan negeri) sudah buat penilaian bebas,”
beliau memberitahu Antarapos.
Bagaimanapun Zaidy menegaskan bayaran untuk mengambil alih SPLASH belum
dimuktamadkan kerana masih memerlukan maklum balas Putrajaya.
“Sekarang ini kerajaan persekutuan akan melantik badan penilaian bebas
untuk melihat harga yang sepatutnya dibayar kepada SPLASH.
“Dipihak kerajaan negeri, kita sudah melantik awal lagi. Tapi sekarang
kerajaan persekutuan baru melantik (badan penilaian), kita tunggulah
hasil penilaian itu,” jelas beliau.
“Hasil penilaian itu, mereka akan beri satu nilai untuk dimuktamadkan
untuk dipersetujui SPLASH dan kerajaan Selangor,” kata beliau.
Justeru, kata Zaidy, angka RM2.7 bilion yang diuar-uarkan “belum muktamad lagi.”
“Proses ini memerlukan (persetujuan) semua pihak, tak boleh Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri saja bersetuju. Jadi sekarang ini, kerajaan
persekutuan cadangkan supaya RM2.7 bilion dikaji semula dengan melihat
kepada hasil penilaian bebas,” kata Zaidy.
Tiada penglibatan PAS Pusat
Beliau menolak tanggapan bahawa PAS yang masih rakan komponen kerajaan
negeri Selangor, meminta ahli exco parti itu menolak pembayaran
pampasan setinggi RM2.7 bilion kepada SPLASH.
“Tiada arahan atau kenyataan (sedemikian) daripada PAS Pusat. Yang
penting keputusan itu kita buat berdasarkan kepada penilaian dan
maklumat tepat yang sepatutnya, sebab kita nak beli SPLASH, kita pun nak
beli dengan harga sewajarnya, tak boleh terlalu rendah dan terlalu
tinggi. Mesti berdasarkan penilaian pihak ketiga,” kata Zaidy.
“Kita (negeri) sudah buat penilaian, kerajaan persekutuan pun akan buat
penilaian, nanti akan dapat satu angka yang kita persetujui bersama,
maka adillah.
“Dipihak mana pun, bila kita berikan maklumat ini dengan tepat, saya kira mereka boleh terima,” kata Zaidy.
Zaidy selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata sebagai pemimpin
parti, beliau dan dan exco PAS yang lain “dari masa ke semasa memang
merujuk kepada PAS Pusat untuk mendapatkan nasihat..(namun) ini adalah
keputusan (yang akan dibuat oleh) kerajaan negeri.”
Kerajaan Selangor sebelum ini telah mengambil alih aset dan operasi tiga syarikat konsesi lain.
Syarikat berkenaan adalah Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) sebanyak
RM2.47 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (RM3.11 bilion)
dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (RM990 juta).
SPLASH bagaimanapun menolak tawaran RM250 juta kerana mendakwa nilai
syarikat itu berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika
dikira tempoh konsesi 16 tahunnya dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9
bilion.
Pengambilalihan SPLASH akan merintis kepada kerajaan negeri menguruskan
sendiri sektor air dan sekali gus mempunyai ruang lebih luas untuk
menetapkan tarif kadar air.
Beberapa pihak sebelum ini memberi peringatan jika syarikat konsesi air
di beri pampasan terlalu tinggi, ia akan menyukarkan usaha memastikan
tariff air tidak membebankan rakyat.
Zaidy yakin apa juga bayaran yang di persetujui, akhirnya, akan memberi manfaat kepada penduduk negeri itu.
“Bila sudah selesai.., pengambilalihan, kita fokus kepada bagaimana
kita nak tambah baik dalam hal pengoperasian air ini selepas kita
(sudah) ambil semua syarikat konsesi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan