HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

Speaker ingatkan Ahli Parlimen jangan gunakan imuniti untuk agenda peribadi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberi peringatan kepada ahli parlimen yang pernah memegang jawatan dalam Kabinet supaya tidak menyalahgunakan kekebalan kuasa imuniti Dewan Rakyat.
 
Tegasnya lagi, bekas menteri dilarang membocorkan sebarang maklumat yang diterima mereka ketika memegang jawatan di dalam kerajaan suatu ketika dahulu demi agenda politik peribadi.
 
"Setiap ahli parlimen harus mempunyai maruah diri. Bukan bersembunyi di belakang imuniti hanya untuk memperkasakan agenda perjuangan politik masing-masing.
 
"Dalam kes Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meletakkan jawatan dahulu, adakah beliau mengemukakan alasan? Beliau meletak jawatan begitu sahaja. 
 
"Tetapi kenapa di dalam Dewan Rakyat minggu lalu, beliau mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan Kabinet pula?" soalnya dalam sidang media di Dewan Rakyat petang tadi.
 
Kenyataan Pandikar Amin itu menyusul ekoran tindakan beberapa bekas menteri mendedahkan rahsia kerajaan kepada umum mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Pandikar Amin juga merujuk kepada Konvensyen Parliment House of Commons di England yang mana sesiapa yang tidak lagi memegang jawatan menteri kabinet tidak boleh mendedahkan rahsia berkenaan dasar dan polisi kerajaan yang dibincangkan.
 
Beliau juga menyuarakan pandangan yang sama terhadap bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
 
"Dua menteri ini (Muhyiddin dan Shafie), mereka tidak meletak jawatan tetapi dilucutkan jawatan oleh Perdana Menteri kerana mereka tidak bersetuju dengannya. Tetapi mereka berdua ini masih berhujah di dalam dewan. 
 
"Sudah dipecat, kemudian baru nak buat kenyataan di dalam dewan, itu satu tindakan yang tidak 'gentleman'. Jangan berselindung di belakang imuniti," katanya.
 
Malah menyentuh perbincangan ahli-ahli parlimen pembangkang yang mahu membincangkan kuasa imuniti di dalam Dewan Rakyat, Pandikar memaklumkan beliau belum mendapat sebarang jemputan.
 
Perbincangan tersebut dikatakan bakal disertai mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
 

Tiada ulasan: