HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 November 2016

Sudah lama nak lepaskan jawatan

Kamaruddin Mohd Kasim
Kamaruddin Mohd Kasim


KOTA BHARU - ‘Bukan kerana Bersatu’, jelas bekas Presiden NGO Tukar, Kamaruddin Mohd Kasim ketika ditanya mengenai alasan beliau bertindak keluar Umno, baru-baru ini.

Menurutnya, sudah lama beliau membuat keputusan untuk melepaskan semua jawatan yang disandang memikirkan lebih ramai yang layak memangku dan sudah tidak mampu meneruskan tanggungjawab yang disandangnya.

“Sebenarnya dari awal dulu, saya letak jawatan dan tinggalkan semua jawatan bukan kerana kemahuan ingin masuk Bersatu.

“Tetapi apakan daya kita tidak tahu perancangan Allah, sekarang saya terbuka hati untuk bersama Bersatu sebagai wadah baru saya.

“Saya bersama dengan bekas Presiden dan bekas Timbalan Presiden Umno untuk wadah baru. Bersatu ini pula bukan parti serpihan Umno, ia wadah baru yang sangat sesuai untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, walaupun pelbagai spekulasi, tuduhan dan andaian dilemparkan atas keputusan yang dilakukan, namun tindakannya bukanlah satu perkara besar dalam arena politik Kelantan.

Beliau turut memberi pesanan,  kepada yang menggantikan tugasnya di Umno negeri untuk berkhidmat sebaik mungkin dan fokus pada tugasan masing-masing.

“Orang bayar gaji bayar elaun untuk melihat keberkesanan dan faedah pada pertubuhan. Bukan di bayar gaji untuk serang saya secara personal. Tidak perlu dikenang ‘kegagalan’ gerakan ‘Tukar Kelantan’ kerana Tukar yang saya kepalai dulu dianggap gagal.

“Usah dikenang cerita lama kerana semua itu sudah jadi nostalgia. Politik ni seperti perlawanan bola sepak. Pengulas selalu berkata "dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh terjadi".

“Salah percaturan, tidak fokus, perbalahan dalam pasukan, perlekeh pasukan orang lain dan banyak perkara lagi adalah punca kekalahan.

“Kepada kawan-kawan dari Umno, Islam itu persaudaraan, politik adalah persahabatan. Jangan kerana ini kita putuskan ikatan sahabat yang kita bina,” katanya.


Tiada ulasan: