HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 November 2016

Terengganu: Amanah tunggu Syed Azman, PPBM tunggu Ahmad Said

MALAYSIA TODAY


Dr-Syed-Azman-Mat-Said


Kedua-dua pemimpin PAS dan Umno Terengganu itu diseru memperjelaskan pendirian mereka, selepas Amanah mendapat suntikan Husam di negeri jiran.

(FMT) – Dua parti serpihan daripada PAS dan Umno masih tercari-cari strategi di Terengganu, dan masih berharap 2 pemimpin besar negeri itu akan membuat keputusan segera dan menyertai mereka.

Pemimpin dan akar umbi Amanah di Terengganu berharap Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad, yang secara rasmi masih bersama PAS, akan membuat pendirian segera bagi menggerakkan parti berusia lebih setahun itu.

Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berharap bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said akan menyertai mereka menjelang pilihan raya umum ke-14.

Tidak sebagaimana jiran Kelantan, Amanah dan PPBM di Terengganu kelihatan belum mendapat formula kejayaan buat masa ini.

Aktiviti mereka tidak dapat dirasai berbanding dengan rakan di Kelantan yang kini sudah membuat lompatan kijang mencabar PAS dan Umno.

Pimpinan Amanah di Terengganu juga kelihatan tidak ada strategi dalam gerakan mereka untuk menyaingi kedua-dua parti besar mewakili Melayu itu.

“Kami ada strategi tetapi masalah kami adalah untuk mengisi strategi itu,” kata Timbalan Pengerusi Amanah Terengganu, Dr Sulaiman Abdullah, kepada FMT, sambil mengaku keperluan kepada pemimpin besar menghidupkan harapan mereka.

Untuk itu, mereka sangat berharap veteran PAS seperti Syed Azman membuat pengisytiharan segera menyertai Amanah mengikut jejak Datuk Husam Musa yang menyertai parti itu Ogos lepas.

“Kami yakin, jika Syed Azman isytihar sertai Amanah, kami akan membuat lonjakan besar,” kata Mohd Zubir Mohamad yang mengetuai Biro Pilihan Raya Amanah Terengganu.

Zubir bimbang, suara akar umbi mula putus harapan kepada bekas pemimpin muda yang menjadi mangsa cantas dalam Pas itu.

Penyertaan Husam ke dalam Amanah 30 Ogos lalu mengubah senario politik khasnya Kelantan.

Dari sebuah parti kecil yang tersepit antara Umno dan PAS, Amanah Kelantan kini menjuarai setiap isu dan PAS serta kerajaan negeri terpaksa mengikut jejak isu yang dibina oleh Amanah.

Syed Azman yang merupakan antara golongan profesional awal menyertai PAS, kini aktif dalam pergerakan “R” Terengganu memperjuangkan tuntutan mendapatkan semula royalti petroleum untuk negeri itu, selepas kejayaan Sarawak mendapatkan hak negeri.

Usaha beliau berjaya menghidupkan sementara harapan itu, namun ia sejuk semula selepas itu.

Di samping Amanah, PPBM juga menghadapi dilema yang sama di Terengganu kerana tidak ada pemimpin besar untuk bersama-sama mereka.

PPBM mengharapkan Ahmad Said, bekas menteri besar yang tidak sealiran dengan kepimpinan negeri sekarang, terjun bersama mereka.

Namun sehingga kini Ahmad kelihatan masih was-was dan terus kekal dengan Umno.

PPBM Terengganu hanya dipimpin tokoh tanpa nama besar buat masa ini.

Sebelum ini, Ahmad membuat usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Terengganu terhadap Menteri Besar Mohd Razif Abdul Rahman.

Langkah itu memutuskan hubungan beliau dengan Umno tetapi sehingga kini Ahmad kelihatan takut-takut untuk terjun bersama pembangkang.


Tiada ulasan: