HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 November 2016

Tuduhan Soros beri dana: Pergilah periksa laman web, akaun kami

 ARIF ATAN
 
 
Bersih di tuduh menerima dana daripada jutawan Amerika Syarikat George Soros untuk menggerakkan himpunan rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.Bersih di tuduh menerima dana daripada jutawan Amerika Syarikat George Soros untuk menggerakkan himpunan rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.


Pihak yang menuduh kononnya Bersih 2.0 mendapat dana asing daripada hartawan Yahudi, George Soros digesa supaya mengesahkan dakwaan tersebut dengan merujuk laman web dan akaun gerakan menuntut pilihan raya bersih  dan adil itu, tegas aktivis hak asasi manusia, Nadya Fadya Fikri.

“Pandai-pandai nak fitnah. Pergilah tengok laman web kami, akaun kami sudah diaudit, semua maklumat ada di situ. Faktanya menunjukkan tiada pun nama Soros di situ. Kenapa mahu timbulkan benda yang tiada menjelang Bersih 5 ini?” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, permohonan maaf oleh syarikat penerbitan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) kepada Bersih 2.0 sebelum ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur patut menjadi pengajaran supaya tidak mengulang fitnah yang sama.

“Pada 2012, Bersih 2.0 sudah pun memfailkan saman malu terhadap NSTP sebab menuduh kami ada terima dana asing. Tuduhan itu tiada asas. Mereka sudah buat permohonan maaf secara terbuka. Mengapa tuduhan sama masih dimain-mainkan lagi?” soalnya.

Fadya menyifatkan kerajaan sengaja memomok-momokkan orang Melayu dengan kebencian terhadap Yahudi padahal maksud sebenar Yahudi dengan Zionis pun tidak dapat dibezakan.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilapor menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tajaan Soros kepada organisasi media tempatan termasuk Bersih, Fadya berkata, KPN sepatutnya menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri, Perdana Menteri sekalipun, kita semua ada undang-undang dan tiada seorang pun boleh melampaui Perlembagaan termasuk KPN. Kalau dia tidak hormat Perlembagaan negara sebagai institusi undang-undang tertinggi di Malaysia ini, kita dibimbangi sedang menuju kepada negara polis.

“Kita akan tinggal dalam negara autokratik kalau polis berkuasa melebihi undang-undang. Saya minta dia hormat semangat perlembagaan. Jangan buat tindakan macam negara ini tidak ada undang-undang,” tegasnya yang juga merupakan peguam.

Menurutnya, sesuai dengan peruntukan Perlembagaan yang menggariskan tentang kebebasan bersuara dan membenarkan rakyat berhimpun tugas pihak polis adalah memastikan himpunan pada 19 November ini berlangsung secara aman bukan bercakap bagi kepentingan mana-mana parti politik.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan seluruh badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini sememangnya bertungkus lumus menjalankan aktiviti bagi mencapai tahap demokrasi yang lebih baik demi menjamin kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.

“Oleh itu, kita perlukan sumber kewangan untuk kerja-kerja berkenaan. Bila dana asing mahu disekat, apa maksudnya kalau bukan untuk halang pembentukan masyarakat sivil?

“Biar tutup semua NGO di Malaysia ini supaya tidak ada yang langsung menegur apatah lagi membantah kerajaan? Kalau begitu, cengkaman kuku besi mereka akan bertambah menyakitkan,” tegas Fadya lagi.

Tiada ulasan: