HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 November 2016

Tun M tidak berhak kata era sekarang teruk berbanding eranya - Hishammuddin

 
 
Hishammuddin Hussein bergambar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 8 Nov. 2016.
Hishammuddin Hussein bergambar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,
 
 
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak berhak untuk mengatakan kepimpinan UMNO sekarang lebih teruk berbanding eranya, kerana yang menentukan kedudukan parti ialah rakyat.
 
Beliau yang diminta mengulas kehadiran Dr. Mahathir di Parlimen bagi bermesyuarat dengan pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang berkata, apa yang dilakukan oleh pemimpin sekarang iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ialah meneruskan kesinambungan bekas presiden parti itu.
 
"Dia tak layak kata era dia lebih baik banding era Najib. Kalau dia anggap kepimpinannya baik, bukan dia tentukan. Rakyat akan tentukan dan biar sejarah yang menilainya," katanya.
 
Ditanya apakah memberi kesan besar kepada UMNO dengan kehadiran Tun Dr. Mahathir di Parlimen, Hishammuddin berkata, beliau tidak kisah.
 
"Saya tak kisah pun ada kesan atau tidak ada kesan. Dia dah buat macam-macam (memburukkan) kepada UMNO," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, beliau ditanya mengenai tindakan Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunus yang dilihat jika dibiarkan boleh menjejaskan nama baik UMNO, katanya, dari dulu beliau berpendirian mana-mana pihak tidak kira dari UMNO atau parti lain jika melanggar undang-undang perlu diambil tindakan.
 
"Kes Jamal ini saya serahkan kepada pihak berkuasa," katanya.
 
Sementara itu Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengulangi penafian kononnya rombongan perdana menteri ke China minggu lalu membuat perjanjian pembelian kapal perang bernilai RM3 bilion.
 
"Itu fitnah. Saya sudah jawab di Parlimen pagi tadi. Harap mereka (pembangkang) faham.
 
"Saya tegaskan, tidak ada urusan atau perjanjian jual beli kapal sebanyak itu," katanya 
 
Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Ching Sen yang mempertikaikan kerajaan membeli 10 kapal tempur pesisir daripada China dengan kos RM3 bilion.
 
Kata Hishammuddin, apa yang berlaku di China ialah persetujuan sebuah syarikat di negara itu untuk membina sebuah kapal perang yang kosnya jauh lebih murah berbanding negara lain.
 
Kata beliau, kos membina kapal itu menggunakan duit dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan Kementerian Pertahanan.
 
"Kalau ada pihak atau syarikat di mana-mana negara termasuk Malaysia boleh membina atau membina kapal dengan harga murah dan cepat, kita bersedia berurusan dengan mereka," katanya.  - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: