HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2016

Walaupun dikaitkan dalam saman DOJ, Menteri JPM kata tidak perlu siasat anak tiri Najib




Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil dan menyiasat Riza Aziz meskipun dia didakwa diperlukan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Riza memang tidak termasuk di dalam siasatan rasuah oleh SPRM, tak perlu SPRM nak panggil pun walau beliau dikaitkan dengan DOJ seperti yang disebut oleh orang ramai. Itu kes lain,” kata Razali.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Zin pada sesi penggulungan Bajet 2017 bagi Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada Rabu.

Malah menurut Razali, tindakan segelintir pembangkang yang cuba memaksa SPRM menjalankan siasatan terhadap Riza yang didakwa ada kaitan dengan kehilangan duit 1MDB adalah tidak wajar.

“SPRM tak nak buat siasatan. Yang Berhormat (YB) marah, suruh mereka buat, seolah-olah YB betul, SPRM salah. Tak boleh buat macam tu.

“Jangan kata pembangkang (suruh), saya yang duduk di bahagian kerajaan pun tak pernah lagi beri arahan kepada SPRM untuk buat siasatan kerana itu kuasa yang kita bagi kepada SPRM,” katanya.

Razali berkata, serangan secara berulang oleh pembangkang terhadap isu DOJ dan 1MDB sebagai satu tuntutan yang bercanggahan.

“Saya nak kata apa, 1MDB kata dia tak hilang duit, DOJ yang cakap duit rakyat Malaysia kena ambil, biar DOJ yang buktikan duit itu hilang, 1MDB tak kata duit dia hilang,” jelasnya.

Sebelum ini, penerbit filem, Riza Aziz dan jutawan Low Taek Jho (Jho Low) , merupakan dua individu yang disebut dalam saman DOJ yang akan dipanggil untuk membela diri pada 22 Ogos lalu.

Tiada ulasan: